
GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini, menyaksikan seorang wanita warga emas, Tan Teuk Ley, 76, didakwa hari ini atas tiga pertuduhan melibatkan tiga buah motosikal pada November tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Tan didakwa memandu dengan kelajuan berbahaya menyebabkan kemalangan motosikal yang ditunggang Afiq Roszani, 23, di Jalan Bukit Gambir, di sini, pada pukul 2.15 petang, 27 November 2023.
Tan juga dituduh memandu dengan kelajuan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap motosikal yang ditunggang Mohd Nor Ezrie Ahamad Nordin, 40, bersama pembonceng Nur Irfan Hakim Mohd Nor Ezrie, 15, di tempat, hari, dan masa yang sama untuk pertuduhan kedua.
Bagi pertuduhan terakhir, juga di tempat, hari, dan masa yang sama, tertuduh didakwa memandu dengan kelajuan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan motosikal ditunggang Muhammad Syamil Zulkarnain, 22, dan pembonceng Kristina Abdullah, 22.
Walau bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali, memohon jaminan RM30,000 dikenakan untuk ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Peguam tertuduh, Dev Kumaraendran memohon supaya jaminan dikurangkan, memandangkan anak guamnya merupakan seorang pesara kerajaan serta bergantung kepada wang pencen berjumlah RM1,800 sebulan.
Selain itu, beliau turut berkata, “Anak guam saya juga mempunyai penyakit ketumbuhan dalam telinga yang menyebabkan dia mengalami masalah dalam pendengaran, dan dia juga masih mendapatkan rawatan di hospital bagi rawatan penyakit berkenaan.”
Beliau menambah lagi, anak guamnya turut sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis sejak dari hari kejadian.
Majistret Siti Nurul Suhaila menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan dia serta ahli keluarganya tidak dibenarkan menganggu mangsa-mangsa.
Sumber : BERNAMA

