BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima sembilan aduan berkaitan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) di negeri ini sejak 30 September lalu.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, daripada keseluruhan sembilan aduan yang diterima, tiga daripadanya berada di bawah bidang kuasa KPDN iaitu melibatkan isu sukatan bahan api di stesen minyak.
Beliau berkata, kebanyakan aduan diterima berpunca daripada tanggapan pengguna yang merasakan jumlah petrol diisi tidak sepadan dengan bayaran dibuat, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang penyelewengan atau ketidakpatuhan dikesan.
“Contoh aduan kita terima, pengguna isi petrol untuk kenderaannya RM30 dan rasa sepatutnya meter naik lebih banyak namun tidak berlaku sedemikian.
“Susulan aduan itu, pegawai KPDN turun ke lokasi untuk semakan dan bila kita buat ujian sukatan, amaun yang dipamerkan pada pam itu memang tepat.

“Kadang-kadang perasaan pengguna saja yang rasa tak cukup sebab dia tengok meter kenderaan bukan meter pam,” katanya ketika diminta mengulas berhubung jumlah aduan diterima KPDN berhubung BUDI95.
Terdahulu, Jegan melakukan pelupusan barang rampasan berjumlah RM4.76 juta di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Jegan berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima permohonan daripada pengguna berhubung penambahan kuota 300 liter yang diperuntukkan kerajaan kepada penerima BUDI95 yang layak.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan subsidi petrol BUDI95 dilaksanakan bermula 30 September lalu dengan harga subsidi RM1.99 seliter bagi rakyat yang layak, manakala harga tanpa subsidi ditetapkan RM2.60 seliter. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

