BALIK PULAU – Bukan datang bawa rotan tapi dengan disiplin ala kem, ditambah kasih sayang untuk mendidik anak-anak.
Itu tekad tiga bekas anggota tentera yang dilantik sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau dalam usaha memastikan kes buli dapat dibanteras dan pelajar dapat hidup dalam suasana lebih selamat serta terurus.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam dunia ketenteraan, mereka berazam menyalurkan ketegasan yang pernah ditempa di kem namun diterjemah dalam bentuk bimbingan, nasihat dan pendekatan mendidik lebih lembut.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Azrol Lizan Mohamad Rosli, 42, berkata, pengalaman menjaga anak buah ketika di blok bujang memberinya kelebihan memahami tingkah laku remaja.
“Dalam tentera, kita tegas tapi di sini kita kena seimbangkan dengan nasihat. Remaja ini memang nak tunjuk hebat, jadi saya terangkan apa akibat kalau buat silap.
“Kalau kita berjaya tarik hati mereka dengan cara betul, sebulan pun sudah boleh nampak perubahan,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada Mei lalu selepas 21 tahun berkhidmat.

Seorang lagi bekas anggota TUDM, Zulkhairi Ismail, 40, menegaskan, pendekatan mereka bukan sekadar mengawal disiplin tetapi mendekati pelajar untuk faham akar masalah.
“Kalau nak selesai isu buli, kena pergi pada punca. Saya percaya kalau kita rapat dengan budak-budak, mereka akan terbuka untuk cerita apa yang berlaku.
“Dulu, ketika berkhidmat dalam pasukan, saya diberi tanggungjawab untuk menjaga lebih 100 anak buah dan pengalaman itu akan saya guna di sini dengan cara lebih mesra,” katanya.

Sementara itu, bekas anggota Tentera Darat, Noraziah Baharudin, 45, berkata, pengalaman anaknya sendiri menjadi mangsa buli mendorongnya mendidik pelajar dengan sentuhan keibuan.
“Anak saya pernah kena buli, jadi saya tahu perasaan itu macam mana, sebab itu saya tak mahu anak orang lain rasa benda sama. Budak sekolah bukan mudah nak ubah serta-merta tapi kalau kita dekati mereka dengan kasih sayang, lama-lama mereka akan terbuka hati untuk berubah,” katanya.
Untuk rekod, seramai tiga warden daripada latar belakang tentera ditempatkan di empat blok asrama MRSM Balik Pulau yang menempatkan kira-kira 600 pelajar lelaki dan perempuan.
MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan, kumpulan pertama bekas anggota polis dan tentera akan memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu di Besut dan Balik Pulau mulai 18 Ogos lalu.
Terdahulu, kesemua mereka bertemu dan diberikan taklimat oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Asyraf Wajdi, pengambilan warden daripada bekas anggota polis dan tentera itu merupakan inisiatif terbaharu Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang.
Selain itu, kata beliau, langkah itu juga bagi menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah ditekankan beliau beberapa bulan lalu.
Sumber : Malaysia Gazette

