Friday, May 1, 2026
UtamaBeritaMAINPP Pacu Agihan Zakat Berkualiti, PHZ Bukti Kecekapan Urus Tadbir Tanpa Penyumberan...

MAINPP Pacu Agihan Zakat Berkualiti, PHZ Bukti Kecekapan Urus Tadbir Tanpa Penyumberan Luar

SEBERANG JAYA, 3 Jun – Peranan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam mengurus dan mengagihkan dana zakat di negeri ini tidak boleh dipandang ringan, malah menjadi contoh pengurusan cekap apabila Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) kendaliannya kekal sebagai satu-satunya pusat rawatan seumpamanya di Malaysia yang beroperasi sepenuhnya tanpa penyumberan luar.

Pengerusi MAINPP, YB Dato’ Mohamad Abd Hamid berkata dalam satu majlis apresiasi sempena Hari Jururawat Sedunia 2025 bagi menghargai jururawat dan warga kerja PHZ, menyifatkan komitmen yang diberikan oleh semua pihak sangat membanggakan dan wajar diraikan. Majlis itu julung kali diadakan bagi menghargai khidmat bakti kakitangan di semua lapan cawangan PHZ yang dikendalikan sepenuhnya oleh MAINPP.

image 9



“Setiap tahun, sebanyak RM9 juta diperuntukkan untuk menampung kos operasi termasuk gaji kakitangan dan rawatan golongan asnaf. Ini menunjukkan bahawa dana zakat bukan sahaja diurus dengan baik, malah memberi impak besar dalam sektor kesihatan,” menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang tersebut.

Tambah beliau, prestasi agihan zakat juga terus dipertingkatkan seiring dengan peningkatan kutipan tahun 2024 berbanding 2023. Antara langkah susulan termasuk menaikkan elaun guru KAFA di Pulau Pinang bermula Julai ini.

Menurutnya lagi, pengurusan zakat merupakan tanggungjawab utama pemerintah seperti termaktub dalam Surah At-Taubah, ayat 103 yang menyeru agar zakat diambil daripada harta umat Islam demi menyucikan dan membersihkan mereka serta mendatangkan ketenteraman jiwa.

image 11



MAINPP sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal Islam di Pulau Pinang turut memainkan peranan penting dalam menyelaras dan mengurus zakat sebagai sebahagian daripada dana negara. Tambah ADUN Batu Maung itu juga, ini kerana pembayar zakat, sama ada individu atau korporat, memperoleh pelepasan cukai, menjadikan kutipan zakat sebahagian daripada hasil yang berpindah daripada LHDN kepada pihak berkuasa agama negeri untuk diuruskan secara khusus.

Dalam pertemuan bersama pengurusan Zakat MAINPP sebelum majlis berkenaan, beliau turut membincangkan pendekatan untuk memperluas jaringan kutipan zakat, termasuk dalam kalangan penjawat awam. Beliau menggalakkan kakitangan PHZ untuk turut mempromosi kepentingan membayar zakat di negeri ini, sekali gus membantu mencapai unjuran kutipan zakat melebihi RM200 juta bagi tahun 2025.

“Ekosistem kewangan sosial Islam negeri ini memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu perumahan, pendidikan dan kesihatan. PHZ adalah sebahagian daripada pelaksanaan teras kesihatan yang kini diletakkan di bawah Divisyen Projek Khas Zakat MAINPP sejak Mac 2024,” katanya.

Dua lagi projek utama di bawah teras pembangunan keluarga dalam Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) ialah Inapan Kasih Sayang (IKS), sebuah asrama percuma untuk anak-anak asnaf dan pusat jagaan warga emas Darul Hanan.

Beliau turut menegaskan bahawa semua perkara berkaitan zakat dan wakaf negeri ini diputuskan melalui mesyuarat MAINPP dan kemudiannya dilaporkan secara terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam negeri.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada kakitangan PHZ yang telah menunjukkan dedikasi luar biasa dalam khidmat mereka.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha MAINPP, Dato’ Haji Rosidi Hussain; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Tuan Za’im Md Yudin; serta beberapa ahli Lembaga Pengarah dan wakil agensi berkaitan.

image 6
image 13

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments