Thursday, April 23, 2026
UtamaBeritaBantuan Malaysia pulihkan Gaza tak abai pembangunan negara

Bantuan Malaysia pulihkan Gaza tak abai pembangunan negara

Ketika lawatan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba ke Malaysia pada 10 Januari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama, mengumumkan persetujuan negara kita menjadi pengerusi bersama Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang diterajui Jepun, pada Julai ini.

Ia akan berkisar mengenai pembinaan semula Gaza dan Palestin menggunakan platform CEAPAD dalam usaha meraih komitmen dunia bagi membantu membangunkan semula Gaza yang ‘hancur sepenuhnya’ akibat serangan ganas rejim Zionis selama 15 bulan.

Bagi Malaysia, khususnya Anwar yang lantang menyuarakan isu penamatan kezaliman di Gaza sejak dahulu, jemputan Jepun itu sangat bermakna buat kita yang disifatkan mewakili negara Islam lain dalam perjuangan untuk rakyat di Gaza.

CEAPAD adalah satu inisiatif bermatlamat menyokong pembangunan dan pembinaan semula di Palestin melalui kerjasama dengan negara Asia Timur.

Inisiatif itu bermula pada 2013 sebagai usaha untuk mengukuhkan sokongan antarabangsa terhadap rakyat Palestin, khususnya dalam bidang ekonomi, pembangunan dan kemanusiaan.

Ironinya, penubuhan CEAPAD itu sebagai reaksi masyarakat antarabangsa, khususnya di Asia Timur dan ASEAN untuk membantu Palestin membangunkan semula infrastrukturnya serta menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Antara negara Asia Timur yang terbabit dalam CEAPAD adalah Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Brunei.

image 26
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba ketika sambutan rasmi Perdana Menteri Jepun itu di Putrajaya. – Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Sejak penubuhannya kira-kira 12 tahun lalu, CEAPAD sudah terbabit dalam pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin, antaranya bantuan kemanusiaan dan kecemasan; projek pembangunan infrastruktur; program pembangunan kapasiti; sokongan kepada sektor ekonomi dan kerjasama dengan agensi antarabangsa.

Melihat kepada keperluan mendesak dalam pembangunan semula Gaza yang musnah sepenuhnya gara-gara kekejaman rejim Israel, CEAPAD setidak-tidaknya platform yang sesuai untuk Malaysia memulakan langkah awal membantu dalam membangunkan semula wilayah bergolak itu.

Ia bersesuaian juga dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

Serentak dengan pengumuman Perdana Menteri itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) akan menjadi urus setia bersama Yayasan Waqaf Malaysia untuk menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza.

Menurutnya jawatankuasa khas itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri serta rakan strategik bagi mempertingkat kerjasama menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza.

Pelbagai pihak hulur bantuan

Ini bermakna, mengikut kefahaman kita, dana ini akan digerakkan menerusi sebahagian besarnya daripada sumbangan pelbagai pihak – sama juga dengan usaha mengutip sumbangan membantu mereka di Gaza seperti sebelum ini.

Bagi kita di Malaysia, usaha pembangunan semula ini setidak-tidaknya menjadi ‘kemuncak’ kepada perjuangan bersama dengan rakyat Palestin di Gaza. Sebelum ini, sumbangan dizahirkan menerusi derma kewangan dan aset.

Justeru, bunyi kritikan dan skeptikal tidak wajar dilontarkan dalam menjayakan usaha ini kerana apa yang dirancang untuk diwujudkan semula di Gaza itu adalah keperluan asas penting, membabitkan tempat tinggal, kesihatan, ibadat dan pendidikan.

Sesuatu perlu dimulakan walaupun secara kecil-kecilan, sekurang-kurangnya sebagai permulaan bersama doa supaya gencatan senjata kali ini dipatuhi semua pihak dan lebih lama, sekali gus lebih banyak bantuan pembangunan antarabangsa dapat dihulurkan.

Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakyat dan badan korporat wajar menggembleng tenaga ke arah menjayakan rancangan menerusi inisiatif CEAPAD.

Seharusnya tidak wajar ada suara yang condong mempertikai usaha itu, lebih-lebih lagi hanya kerana perbezaan ideologi politik. Sebaliknya semangat bersama untuk membantu penduduk di Gaza perlu diutamakan seperti yang dilakukan sebelum ini yang mana semua pihak menunjukkan perpaduan dalam membela saudara kita di sana.

Masanya mungkin panjang untuk dijayakan rancangan itu, tetapi kita tentu mahu melihat kawasan yang dibangunkan dengan kemudahan asas menggembirakan sebahagian penduduk Gaza sementara menunggu bantuan lain di kawasan lain pula.

Jika pun kerajaan mengusahakan dana untuk membangunkan semula Gaza di atas platform CEAPAD, tidak mungkin peruntukan untuk rakyat sendiri akan diabaikan seperti telahan sesetengah pihak.

Ia sudah termaktub dalam Belanjawan negara setiap tahun, khususnya bagi 2025 ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) contohnya menerima peruntukan terbesar sehingga RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion tahun sebelumnya.

RM1 bilion pula dikhususkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah, terutama keadaan bilik darjah yang uzur, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas.

Menonton banyak keratan video di media sosial menunjukkan rakyat Gaza membina sendiri penempatan mereka yang musnah seperti membersihkan sisa runtuhan dan membuat jalan selepas gencatan senjata diumumkan.

Suasana itu cukup untuk meruntun jiwa kemanusiaan kita dan sewajarnya menaikkan azam semua pihak untuk membantu meringankan kesan jenayah kemanusiaan dicetuskan rejim Zionis.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments