Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaPenggunaan air di Pulau Pinang menurun tahun lalu

Penggunaan air di Pulau Pinang menurun tahun lalu

GEORGETOWN: Penggunaan air di Pulau Pinang mencatat penurunan purata sekitar 0.6 peratus atau lima juta liter sehari (JLH) pada tahun lalu berbanding 2023, dengan membabitkan jumlah pengurangan lebih 1.8 juta meter padu (m³) dalam tempoh setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan, berkata jumlah pengguna air berdaftar yang menerima perkhidmatan PBAPP bagaimanapun meningkat sebanyak 15,742, iaitu daripada 689,786 pada 2023 kepada 705,528 pengguna tahun lalu.

“Penggunaan domestik di Pulau Pinang merujuk kepada penggunaan oleh isi rumah dengan meter individu, di mana penggunaan air telah menurun kira-kira 6.4 peratus daripada 503 JLH pada 2023 kepada 471 JLH tahun lalu.

“Penggunaan air bukan domestik dan lain-lain pula meningkat sekitar 7.2 peratus, daripada 374 JLH pada 2023 kepada 401 JLH tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau memaklumkan, data PBAPP juga menunjukkan terdapat peningkatan bilangan pengguna dalam setiap kategori penggunaan.

Pengguna air domestik meningkat kepada 604,976 pengguna tahun lalu berbanding 593,255 pada 2023.

Pengguna air bukan domestik turut meningkat sebanyak 2,246 pengguna, iaitu daripada 94,198 pada 2023 kepada 96,444 tahun lalu.

Selain itu, Pathmanathan berkata, bilangan pengguna domestik pukal, agama dan kebajikan serta perkapalan turut meningkat daripada 2,333 pengguna pada 2023 kepada 4,108 tahun lalu.

Seterusnya, beliau berkata, data menunjukkan penggunaan air domestik masih menyumbang sekitar 54 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan air.

Ini menunjukkan isi rumah di Pulau Pinang terus menggunakan lebih banyak air berbanding gabungan semua premis perniagaan, komersial dan kerajaan.

“Lebih ramai pengguna domestik mengurangkan penggunaan air pada 2024 berbanding 2023, walaupun penduduk Pulau Pinang dan bilangan pengguna domestik meningkat tahun ke tahun.

“Penurunan ini berkemungkinan disebabkan semakan kadar tarif domestik yang berkuat kuasa pada 2 Januari tahun lalu, peningkatan kesedaran mengenai tekanan sumber air di Pulau Pinang, serta keberkesanan kempen penjimatan air domestik,” katanya.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments