Kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan peluang pesakit penyakit buah pinggang tahap akhir menerima rawatan transplan yang mampu mengembalikan kualiti hidup mereka.
Perkara itu antara yang diketengahkan pada sesi perkongsian sempena Hari Transplan Organ Sedunia di Island Hospital yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, bersama pakar perubatan dan wakil media.
Pakar Urologi Perunding Island Hospital, Dr. S. Sritharan berkata, Malaysia merekodkan kira-kira 10,000 kes baharu kegagalan buah pinggang setiap tahun, manakala seramai 60,000 hingga 70,000 pesakit kini bergantung kepada rawatan dialisis.
Namun, hanya sekitar 250 transplan buah pinggang berjaya dilakukan setiap tahun, dengan majoritinya melibatkan penderma daripada ahli keluarga.
Beliau menjelaskan bahawa transplan buah pinggang merupakan rawatan paling berkesan kerana membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan yang hampir normal selain mengurangkan beban kos rawatan jangka panjang.
Sementara itu, Pakar Nefrologi Perunding Island Hospital, Dr. Vijaya B. Ramasamy berkata, dianggarkan seramai 10,000 pesakit sedang menunggu transplan buah pinggang di seluruh negara.
Beliau menegaskan bahawa pendermaan organ bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, meningkatkan produktiviti pesakit dan mengurangkan beban kewangan sistem kesihatan negara.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat serta berbincang dengan doktor mengenai pendermaan organ bagi memperluaskan peluang lebih ramai pesakit memperoleh kehidupan yang lebih berkualiti.

