Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi apabila Eppendorf Group, peneraju global dalam penyelesaian makmal sains hayat, mengumumkan pembinaan fasiliti pembuatan pertamanya di Asia Tenggara di Bandar Cassia Technology Park.
Majlis menandatangani perjanjian pajakan antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Eppendorf disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, bersama Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Seri Loo Lee Lian.
Pelaburan bernilai kira-kira €40 juta (RM180 juta) itu dijangka memulakan pengeluaran secara berperingkat pada tahun 2028 serta mewujudkan kira-kira 130 peluang pekerjaan menjelang penghujung 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif Eppendorf Group, Dr. Christine Munz berkata, projek tersebut merupakan satu langkah penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsa syarikat yang berpangkalan di Hamburg, Jerman itu.
Menurut beliau, fasiliti baharu berkenaan akan menjadi hab pembuatan moden bagi menghasilkan beberapa produk utama seperti sentrifug, pengadun (mixers) dan cyclers, sekali gus mengukuhkan rangkaian pengeluaran global Eppendorf serta memperluaskan kehadirannya di rantau Asia Tenggara selepas lebih tiga dekad bertapak di Malaysia.
Sementara itu, Chow Kon Yeow berkata, pelaburan Eppendorf mencerminkan keyakinan berterusan syarikat-syarikat global terhadap ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang kukuh dan berdaya saing.
Beliau berkata, projek itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan negeri dalam sektor peralatan saintifik dan teknologi pengukuran, malah membuka peluang kerjasama dengan syarikat tempatan menerusi inisiatif Penang ATE Campus bagi pembangunan teknologi, penyetempatan rantaian bekalan dan pembangunan vendor, selaras aspirasi Pulau Pinang untuk terus muncul sebagai hab utama pembuatan maju, sains hayat dan inovasi di rantau ini.

