Wednesday, June 10, 2026
UtamaBeritaProjek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong: Kerajaan Negeri masih teliti sebelum buat keputusan

Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong: Kerajaan Negeri masih teliti sebelum buat keputusan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih meneliti pelbagai aspek berkaitan Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong sebelum membuat sebarang keputusan, termasuk cadangan untuk memberikan tempoh lanjutan kepada pemaju projek, PLB Engineering Berhad (PLBE).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat dan pandangan yang menyeluruh sebelum keputusan muktamad dibuat.

Menurut beliau, meskipun terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak agar keputusan segera dibuat serta mengemukakan pelbagai tuduhan terhadap Kerajaan Negeri, proses pertimbangan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan berpandukan fakta yang tepat.

“Proses ini masih berjalan dan saya sentiasa menegaskan bahawa setiap keputusan perlu dibuat berdasarkan maklumat yang betul.

“Kita sedang melalui proses tersebut kerana setiap keputusan yang diambil mempunyai implikasi tertentu, khususnya dari sudut kewangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Penang Career Discovery Day X Penang HR Forward Forum 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan sama ada untuk memberikan tempoh lanjutan kepada PLBE masih belum dimuktamadkan dan kini sedang dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri.

“Apabila keputusan telah dibuat, Kerajaan Negeri akan mengumumkannya kepada umum,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa pertemuan bersama pihak JAS telah berlangsung pada 8 Jun lalu dan laporan yang diperoleh akan diteliti sebagai sebahagian daripada proses penilaian yang sedang berjalan.

Laporan tersebut dijadualkan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 10 Jun oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar yang mengetuai pertemuan bersama pihak JAS.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa peningkatan kutipan hasil Kerajaan Negeri berpunca daripada kenaikan cukai tanah.

Menurutnya, angka yang dibentangkan merujuk kepada prestasi kewangan sehingga 31 Disember 2025 yang mencatatkan lebihan hasil atau surplus bagi tahun berkenaan.

“Kenaikan kutipan hasil tersebut adalah hasil daripada lebihan yang besar pada tahun 2025 dan tidak berkaitan dengan kenaikan kadar cukai tanah kerana kadar baharu hanya mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak merujuk kepada fakta yang tepat sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan pada tahun 2025, manakala kedudukan kewangan negeri terus menunjukkan pengukuhan pada tahun ini.

“Pada tahun 2025, kita berjaya mencatatkan lebihan yang sangat memberangsangkan.

“Bagi tahun 2026 pula, walaupun tahun kewangan masih belum berakhir, Akaun Hasil Disatukan Negeri telah meningkat lebih RM600 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Ini merupakan petunjuk yang positif kerana setakat ini kita telah merekodkan RM616 juta dalam Akaun Hasil Disatukan Negeri,” katanya.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments