Thursday, June 4, 2026
UtamaBeritaPulau Pinang tekad bina ‘benteng sosial’ tangani gejala buli dalam kalangan pelajar

Pulau Pinang tekad bina ‘benteng sosial’ tangani gejala buli dalam kalangan pelajar

Kerajaan Negeri komited menyokong pelbagai inisiatif dan program kesedaran bagi membanteras gejala buli demi memastikan institusi pendidikan di Pulau Pinang terus menjadi persekitaran yang selamat, harmoni dan kondusif untuk perkembangan pelajar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, isu buli tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar kenakalan remaja, sebaliknya merupakan ancaman serius yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental, emosi dan masa depan generasi muda.

Memetik data terkini daripada Kementerian Pendidikan (KPM), beliau berkata sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan di seluruh negara dengan majoriti kes melibatkan pelajar sekolah menengah.

“Angka ini harus menjadi peringatan kepada semua bahawa budaya buli sama ada secara fizikal, lisan mahupun siber boleh meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap keyakinan diri, emosi serta masa depan anak-anak kita.

“Sebab itu, undang-undang semata-mata tidak mencukupi. Kita memerlukan pendekatan kolaboratif yang melibatkan seluruh komuniti bagi membina benteng sosial yang kukuh dalam menangani gejala ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sumbangan Sempena Hari Raya Aidiladha anjuran OHM Group di sini pada 20 Mei 2026.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji inisiatif penganjur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menganjurkan Sesi Kesedaran Anti Buli Dalam Kalangan Pelajar sebagai usaha mendidik masyarakat mengenai bahaya gejala tersebut.

Selain menekankan aspek kesedaran sosial, beliau turut menghargai komitmen OHM Group menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbangkan bantuan berjumlah RM24,000 kepada Pondok Darul Ulum Al-Filfilaniah, Madrasah Tahfiz Darul Ukasha dan Mahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Saya berharap program CSR sempena Aidiladha seperti ini akan terus menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat dan organisasi korporat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta pendidikan di Pulau Pinang,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital yang juga ADUN Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari, serta Pengerusi CSR OHM Group, Datin Ooi Seok Eng.

Dalam program yang sama, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Inspektor Mohamad Azwan Mahmud Safbri, turut menyampaikan ceramah ringkas berkaitan kesan dan implikasi jenayah buli di sekolah.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Deputi Superintendan Salim Emin; Pengarah Eksekutif OHM Group, Ong Soo Yong; wakil Pondok Darul Ulum Al-Filfilaniah, Azman Ahmad Khariry; Pengetua Madrasah Tahfiz Darul Ukasha, Ustaz Mohamad Salim Sauroo Mydin serta Naib Pengerusi Mahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran, Ustaz Seyed Ahsan Shahul Hameed.

Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras buli memerlukan penglibatan semua pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, agensi penguat kuasa, pertubuhan masyarakat dan sektor korporat agar budaya saling menghormati, empati dan kasih sayang dapat terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments