Thursday, May 21, 2026
UtamaBeritaCadangan Pembinaan Jambatan Ketiga Sebagai Alternatif Laluan Baharu

Cadangan Pembinaan Jambatan Ketiga Sebagai Alternatif Laluan Baharu

Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang meneliti cadangan pembinaan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar sebagai alternatif kepada projek laluan ketiga yang dicadangkan sebelum ini. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan setiap keputusan berkaitan pembangunan infrastruktur mega dibuat secara berhemah, praktikal dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta ekonomi negeri.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri masih belum membuat sebarang bayaran berkaitan projek terdahulu dan segala tuntutan berkaitan masih tertakluk kepada penelitian lanjut berdasarkan kedudukan semasa. Katanya, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menilai hala tuju projek berkenaan dengan mengambil kira aspek kebolehlaksanaan teknikal, impak kewangan, keperluan mobiliti rakyat serta manfaat strategik kepada Pulau Pinang pada masa depan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini baru-baru ini. Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, kajian terhadap cadangan pembinaan jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh Kerajaan Negeri bagi memastikan projek infrastruktur yang dilaksanakan benar-benar mampan serta memberi pulangan optimum kepada rakyat.

Dalam pada itu, Zairil memaklumkan bahawa penyelarasan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang masih diteruskan bagi mencapai keputusan menyeluruh yang mengambil kira pelbagai aspek termasuk teknikal, logistik, navigasi marin dan kepentingan pembangunan negeri secara keseluruhan. Menurut beliau, penelitian secara terperinci amat penting memandangkan projek berkenaan melibatkan kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata Laporan Kajian Kebolehlaksanaan bagi Cadangan Projek Terowong Dasar Laut Penang Third Link telah disiapkan dan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri sebelum diluluskan pada 5 April 2023. Katanya, skop kajian tersebut melibatkan pelbagai komponen teknikal dan profesional termasuk kerja ukur tanah, kajian kejuruteraan, reka bentuk awal, penyediaan pelan serta khidmat perunding profesional bagi menilai daya maju projek secara menyeluruh.

Menurut beliau lagi, jumlah kelayakan bayaran bagi kerja-kerja penyediaan laporan dan kajian tersebut adalah sebanyak RM20 juta melalui kaedah pertukaran tanah atau land exchange. Walau bagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Negeri masih belum membuat sebarang bayaran berkaitan projek tersebut.

Selain isu laluan ketiga, Zairil turut menyentuh mengenai beberapa isu infrastruktur lain termasuk kerja-kerja menaik taraf jalan di Sungai Lokan ke Sungai Dua yang telah dimasukkan dalam perancangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara bagi tahun 2026. Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang sedang giat menyelesaikan isu tebatan banjir di beberapa kawasan termasuk Balik Pulau, Teluk Air Tawar, Teluk Bahang, Permatang Pasir, Guar Perahu dan Tanah Liat demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments