Wednesday, April 22, 2026
UtamaBeritaKetua Menteri Umum Perbincangan BDR Penjawat Awam Diadakan Esok

Ketua Menteri Umum Perbincangan BDR Penjawat Awam Diadakan Esok

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan terperinci mengenai kesesuaian pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dijadualkan berlangsung esok, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, perkara tersebut masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan, memandangkan ia memerlukan pertimbangan menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk keperluan operasi jabatan, tahap kesiapsiagaan sistem sokongan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut beliau lagi, perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dalam mesyuarat berkenaan akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk menilai secara lebih holistik, termasuk mendapatkan maklum balas daripada semua jabatan dan agensi terlibat sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sebelum ini, perkara ini tidak dibincangkan kerana tiada mesyuarat (Exco) diadakan,” ujarnya sebagai respon kepada pertanyaan pemberita usai sidang media pengumuman BE Associates Programme di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan BDR bukan sahaja perlu melihat kepada keselesaan penjawat awam, malah perlu diseimbangkan dengan keperluan perkhidmatan awam yang menuntut kehadiran fizikal bagi memastikan kelancaran urusan rakyat tidak terjejas.

Pada 8 April lalu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti semula keperluan pelaksanaan dasar tersebut dengan mengambil kira maklum balas semasa daripada jabatan-jabatan berkaitan, selain merujuk kepada garis panduan di peringkat Persekutuan sebagai asas pertimbangan.

Tambah beliau, setiap jabatan mempunyai fungsi dan keperluan berbeza, justeru penilaian yang dibuat perlu bersifat fleksibel dan bersesuaian dengan tugasan masing-masing agar pelaksanaan BDR, sekiranya dipersetujui, dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa menjejaskan produktiviti.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas semua aspek diteliti secara mendalam, termasuk impak terhadap kecekapan perkhidmatan, kesejahteraan penjawat awam serta kepentingan rakyat secara keseluruhan.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments