Monday, April 20, 2026
UtamaBeritaKerajaan Negeri Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana Menerusi Latihan Simulasi CBRNE 2026

Kerajaan Negeri Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana Menerusi Latihan Simulasi CBRNE 2026

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana melalui penganjuran Latihan Simulasi dan Pelan Evakuasi Bencana Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Hazmat 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long berkata, latihan tahunan itu dilaksanakan sebagai langkah persediaan berdepan insiden berisiko tinggi memandangkan kejadian CBRNE boleh memberi kesan besar serta mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat, seperti insiden di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April tahun lalu. Menurut beliau, kewujudan paip gas yang menghala ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perai dan melalui kawasan perumahan padat menjadikan keperluan meningkatkan kesiapsiagaan sebagai satu keutamaan.

“Seramai 256 petugas daripada 34 agensi dengan sokongan 260 aset terlibat dalam simulasi ini. Antara agensi yang mengambil bahagian termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) serta Jabatan Kimia. PDRM turut bertindak sebagai pusat kawalan operasi bencana di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas latihan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Gapar Abu Bakar; serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata latihan tersebut bertujuan memastikan semua agensi sentiasa bersedia dari segi kelengkapan, koordinasi dan keupayaan bertindak pantas sekiranya berlaku bencana sebenar. Berdasarkan pemerhatian keseluruhan, beliau memaklumkan semua agensi berjaya berkoordinasi dengan baik dan latihan berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.

“Melalui simulasi ini, kita berharap sekiranya berlaku kejadian sebenar, semua pihak telah bersedia untuk bertindak dengan cekap dan berkesan,” ujarnya sambil menambah bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi memastikan penyelarasan berterusan.

Sementara itu, Mohamad ketika berucap merasmikan CBRNE 2026 berkata pelaksanaan latihan tersebut selari dengan Visi Penang2030 yang menekankan pembinaan negeri yang selamat, berdaya huni dan mampan. Beliau menjelaskan bahawa simulasi kali ini memfokuskan kepada senario letupan paip gas, mengambil kira potensi risiko sebenar akibat kemalangan industri, kecuaian manusia atau ancaman disengajakan.

“Ancaman CBRNE tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan keselamatan mangsa, malah berpotensi melumpuhkan ekonomi setempat. Justeru, latihan ini penting untuk meningkatkan kecekapan serta memperkukuh koordinasi antara agensi dalam menghadapi kemungkinan kebocoran paip gas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS Gas Berhad (PGB) atas kerjasama dalam menjayakan latihan tersebut, khususnya dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko kebocoran paip gas. Katanya, latihan itu juga menguji keupayaan agensi dari aspek pengesanan awal, penilaian risiko, pengaktifan mekanisme tindak balas, pengurusan mangsa serta komunikasi krisis.

“Kerajaan Negeri berharap latihan simulasi ini dapat memberi manfaat menyeluruh dalam usaha melindungi keselamatan rakyat serta mengurangkan impak sekiranya berlaku bencana pada masa hadapan,” katanya.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments