Kerajaan Negeri terus memperhebat usaha kelestarian alam sekitar dengan pelaksanaan jambatan kanopi hidupan liar ketiga, dikenali sebagai ‘Obscura Crossing’, yang dibina berhampiran Hard Rock Hotel Penang hari ini. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, YB Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa projek ini merupakan inisiatif proaktif bagi menangani isu fragmentasi habitat akibat pembangunan pesat serta pembinaan jalan raya di kawasan tersebut. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata, projek yang diterajui oleh Langur Project Penang (LPP) itu mencerminkan komitmen negeri dalam membangunkan infrastruktur yang inklusif, bukan sahaja untuk manusia tetapi turut melindungi hidupan liar.
Menurut beliau, pembinaan jalan raya sering memisahkan habitat semula jadi pelbagai spesies termasuk lutong, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan apabila haiwan tersebut cuba melintas. Jambatan kanopi ini menyediakan laluan selamat kepada hidupan liar dan mengurangkan kesan negatif terhadap habitat mereka. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pengurus Eksekutif Hard Rock Hotel Penang, Tobias Lackermeier serta Pengarah merangkap pengasas LPP, Dr. Yap Jo Leen. Beliau menjelaskan bahawa nama ‘Obscura’ diambil daripada nama saintifik lutong, iaitu Trachypithecus obscurus, sebagai simbol keperluan hidup bersama antara manusia dan hidupan liar yang tidak lagi boleh dipinggirkan dalam perancangan bandar.
Tambah beliau, keberkesanan jambatan kanopi terbukti melalui data pemantauan yang menunjukkan kadar penggunaan tinggi oleh hidupan liar. Jambatan pertama di Teluk Bahang yang dibina pada 2019 mencatatkan 7,500 lintasan, manakala jambatan kedua di Lembah Permai pada 2024 merekodkan 800 lintasan dalam tempoh singkat. Zairil turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Yap Jo Leen atas usaha berterusan sejak peringkat pengajian Sarjana hingga kini. Beliau berkata, kejayaan ini bukan sahaja membantu melindungi ekosistem tempatan, malah mengangkat Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa dengan pengiktirafan global serta liputan media seperti BBC, hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, komuniti, saintis dan pelbagai agensi berkepentingan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyokong cadangan projek LPP melalui kerjasama agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), khususnya dalam memudah cara proses kelulusan. Mengulas perkembangan lain, beliau berkata kerja pemulihan hakisan pantai di Batu Feringghi akan dimulakan dalam masa terdekat melibatkan kawasan belakang Hotel Lone Pine dan Golden Sands dengan kos RM500,000 di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.
Beliau menjelaskan bahawa Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan kepada kontraktor dan kerja dijadual bermula pada 20 April 2026, dimulakan dengan kerja pembersihan termasuk penebangan serta pengalihan pokok tumbang sebelum kerja fizikal dilaksanakan. Projek ini dijangka siap dalam tempoh 16 minggu. Pendekatan teknikal melibatkan penggunaan benteng beg pasir yang direka lebih tinggi berbanding sebelum ini susulan fenomena ombak tinggi tahun lalu yang menyebabkan reka bentuk lama gagal menahan limpahan air dan mengakibatkan hakisan. Reka bentuk baharu ini dipertingkat bagi memberikan ketahanan lebih baik sementara menunggu penyelesaian jangka panjang, dengan JPS Malaysia kini berada di fasa akhir penyediaan reka bentuk tersebut sebelum proses pelantikan kontraktor dilaksanakan.

