Thursday, April 16, 2026
UtamaBeritaProjek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua Masuk Fasa Pelaksanaan, Siap Sepenuhnya 2030

Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua Masuk Fasa Pelaksanaan, Siap Sepenuhnya 2030

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru–Sungai Dua (PTJSD) yang kini memasuki fasa pelaksanaan di tapak.

Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kerja-kerja fizikal bagi Pakej 1 telah bermula sejak Oktober tahun lalu dengan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan. Pakej berkenaan disasarkan siap lebih awal dan mula beroperasi menjelang penghujung tahun 2027.

Pelaksanaan projek tersebut akan diteruskan secara berperingkat melibatkan Pakej 2 hingga Pakej 5 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran dari Plaza Tol Juru ke Sungai Dua. Kesemua pakej ini dijangka memulakan kerja fizikal pada suku ketiga tahun ini, tertakluk kepada pemuktamadan skop teknikal, dengan sasaran keseluruhan projek siap sepenuhnya pada akhir tahun 2030.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendekatan proaktif melalui rundingan berterusan bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan. Usaha ini bertujuan menangani sebarang isu berbangkit secara menyeluruh sepanjang tempoh pembinaan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek secara rapi bagi memastikan setiap fasa berjalan mengikut perancangan. PTJSD dijangka memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Secara keseluruhan, projek ini dilihat sebagai inisiatif strategik dalam menangani kesesakan di jajaran Lebuhraya Utara–Selatan yang merekodkan purata lebih 200,000 kenderaan sehari. Laluan utama ini menghubungkan trafik dari utara dan selatan Semenanjung Malaysia, dengan kesesakan turut menjejaskan kawasan sekitar seperti Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai.

Sejak April 2024, pelbagai kajian termasuk analisis trafik telah dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang dirangka bersifat komprehensif dan mampan. Melalui pelaksanaan Makmal Kajian Nilai, skop keseluruhan projek kini berada pada peringkat rundingan akhir bagi memastikan kos dimuktamadkan secara optimum serta memenuhi keperluan semua pihak.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments