Wednesday, April 15, 2026
UtamaBeritaPulau Pinang capai skor 89.13 hingga 90.32 peratus Indeks Kemampanan Bandar

Pulau Pinang capai skor 89.13 hingga 90.32 peratus Indeks Kemampanan Bandar

Indeks Kemampanan Bandar bagi tahun 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menunjukkan bahawa negeri Pulau Pinang mencatat skor antara 89.13 hingga 90.32 peratus.

Perkara ini diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, memaklumkan bahawa kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), telah mencapai status mampan. Pencapaian ini diperoleh berdasarkan analisis beberapa dimensi utama seperti Ekonomi Berdaya Saing, Kualiti Persekitaran Mampan, Guna Tanah dan Sumber Asli Optimum, serta Infrastruktur, Pengangkutan Efisien dan Urus Tadbir Efektif, yang semuanya mencatatkan tahap mampan sepenuhnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi Dimensi Komuniti Sejahtera, Pulau Pinang memperoleh skor sederhana mampan dalam julat 0.50 hingga 0.79.

Secara keseluruhan, daripada 42 penunjuk kemampanan bandar, sebanyak 42 penunjuk mencapai tahap mampan (melebihi 0.80), enam penunjuk berada pada tahap sederhana mampan (0.50 hingga 0.79), manakala tiga penunjuk masih berada pada tahap kurang mampan (di bawah 0.49).

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri (I), Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri (II), Fadillah Yusof; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; serta Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri lain, selain pegawai kanan dan jemputan rasmi.

Menurut Kon Yeow, usaha penambahbaikan akan difokuskan kepada sembilan penunjuk yang masih belum mencapai tahap mampan. Antaranya ialah kadar kemiskinan di Seberang Perai, penyediaan rumah mampu milik mengikut sasaran negeri, nisbah sekolah menengah kepada penduduk, serta jumlah prasekolah atau tabika bantuan kerajaan dan swasta.

Penunjuk lain yang turut diberi perhatian termasuk nisbah aduan berkaitan gangguan awam, peratus perniagaan makanan yang mendapat penarafan Gred A, peratus tandas awam bertaraf lima bintang, serta penggunaan air domestik harian per kapita di peringkat negeri.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri bersama agensi dan jabatan teknikal perlu memberi tumpuan khusus terhadap penunjuk-penunjuk berkenaan, di samping mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan pencapaian pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments