Kerajaan Negeri hari ini menyatakan keyakinan terhadap masa depan Kompleks Jalan Kedah yang kini melalui fasa transformasi lebih signifikan hasil kerjasama antara penyaluran dana kerajaan dan penglibatan aktif komuniti setempat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, peruntukan yang disalurkan melalui wakil rakyat serta agensi kerajaan sebelum ini telah menunjukkan hasil positif dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan tersebut.
“Melalui peruntukan yang diberikan oleh wakil rakyat dan pihak kerajaan, kita dapat melihat perubahan bermakna yang telah berlaku di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 anjuran Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah di sini pada 8 April 2026.
Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menegaskan kepentingan penduduk untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan insan bagi memastikan kelestarian persekitaran harmoni di Kompleks Jalan Kedah.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memuji kesedaran penduduk tempatan yang bekerjasama dengan persatuan penduduk dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan, kebersihan, ketenteraman serta semangat perpaduan di kawasan berkenaan.
“Saya yakin dengan perubahan sikap penduduk dalam menjaga keselamatan, kebersihan serta kerjasama antara semua kaum bersama kepimpinan persatuan penduduk, Kompleks Jalan Kedah ini akan terus bertambah baik pada masa hadapan,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Turut berucap pada majlis sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyifatkan penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri sebagai satu tradisi penting dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Maidin menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow atas sumbangan dana sebanyak RM50,000 yang membolehkan projek penaiktarafan dewan orang ramai disiapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hui Ying atas sumbangan peruntukan berjumlah RM250,000 bagi projek penaiktarafan parkir di kompleks tersebut.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A. Rajendran bersama isteri turut menghadiri majlis berkenaan sebentar tadi.

