Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang mengkaji semula keperluan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dengan mengambil kira maklum balas menyeluruh daripada setiap jabatan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perbincangan awal di peringkat Exco telah diadakan hari ini dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah diarahkan untuk mendapatkan maklum balas terperinci daripada semua jabatan mengenai keperluan pelaksanaan BDR.
Beliau menjelaskan bahawa perkara ini termasuk menilai kesesuaian tugasan berdasarkan panduan yang telah diterima, sebagai menjawab pertanyaan pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Tadika, Pusat Pendidikan Punjabi dan Telegu di Komtar.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan BDR akan ditentukan berdasarkan maklum balas semasa serta keperluan sebenar perkhidmatan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah memperkenalkan pelbagai inisiatif mobiliti sebagai alternatif, termasuk perkhidmatan bas ulang-alik khas di bawah inisiatif Congestion Alleviation Transport (CAT) kepada penjawat awam dengan subsidi serendah RM150 sebulan.
Inisiatif ini melibatkan tujuh bas sewaan khas yang beroperasi ke Komtar dari beberapa lokasi seperti Bertam, Jawi, Seberang Jaya dan Balik Pulau.
Selain itu, sebahagian penjawat awam turut menikmati kemudahan bas percuma dari Bukit Mertajam ke Komtar, manakala perkhidmatan Bridge Express Shuttle Service (BEST) pula disediakan bagi laluan Seberang Perai ke Bayan Lepas untuk memberi manfaat kepada pekerja industri setiap hari.
Sebagai makluman, garis panduan BDR di peringkat Persekutuan menetapkan kelayakan berdasarkan faktor jarak perjalanan, khususnya bagi penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor serta 21 ibu negeri atau pusat pentadbiran termasuk George Town, dengan jarak perjalanan melebihi lapan kilometer sehala.

