BAYAN LEPAS – Pembangunan Pulau Silikon (Silicon Island) dijangka menyumbang sekurang-kurangnya RM1.1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini menjelang tahun 2050, sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi berteknologi tinggi di rantau ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek berimpak tinggi tersebut bukan sahaja menjadi pemangkin kepada ekonomi negeri dan negara, malah dijangka mewujudkan kira-kira 220,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan serta ekonomi digital.
“Matlamat kita (Pihak Berkuasa Negeri) adalah jelas, iaitu membangunkan Pulau Silikon melalui perancangan berteraskan amalan reka bentuk bandar terbaik dengan penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Pendekatan ini diyakini mampu menarik pelaburan global dan serantau, seterusnya mengangkat Pulau Pinang sebagai destinasi utama ekonomi masa hadapan,” ujarnya ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini pada 7 April 2026.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa RTPSI 2050 mencatat sejarah sebagai Rancangan Tempatan pertama dalam negara yang dibangunkan sepenuhnya bagi kawasan greenfield melalui tebus guna tanah dengan integrasi teknologi pangkalan data GeoBIM.
Menurut beliau, daripada keseluruhan 2,300 ekar tanah baharu, sebanyak 553 ekar akan diperuntukkan bagi kawasan perindustrian berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ yang dilengkapi kemudahan ‘plug and play’.
“Dari aspek kelestarian, kita menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus melalui penggunaan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui di Green Tech Park serta pelaksanaan nisbah modal shift (pisah ragam) 70:30 bagi pengangkutan awam.
“Selain itu, pembangunan ini turut merangkumi projek ikonik The Heart of the Island (HOTI) serta penyediaan tapak bagi Pusat Pentadbiran Negeri yang moden dan efisien,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk sektor swasta dan komuniti setempat, untuk memberikan maklum balas konstruktif sepanjang tempoh publisiti laporan tersebut bagi memastikan pembangunan yang dirancang bersifat inklusif.
Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Pulau Pinang serta agensi negeri, Penang Infrastructure Corporation (PIC) atas komitmen berterusan dalam merealisasikan projek RTPSI 2050.
Secara keseluruhannya, visi RTPSI 2050 adalah selari dengan hala tuju Penang2030, khususnya di bawah Tema D yang menumpukan kepada pelaburan dalam persekitaran terbina yang mampan.

