Friday, April 17, 2026
UtamaBeritaHospital Pulau Pinang Kekal Cemerlang, Kini hospital awam ketiga terbaik negara

Hospital Pulau Pinang Kekal Cemerlang, Kini hospital awam ketiga terbaik negara

HOSPITAL Pulau Pinang (HPP) bukan lagi sekadar nama, ia kini menjadi simbol kepakaran dan dedikasi dalam dunia perubatan di utara Semenanjung apabila baru-baru ini menerima pengiktirafan membanggakan sebagai hospital awam ketiga terbaik di Malaysia oleh majalah antarabangsa, Newsweek untuk tahun 2026, sekali gus melonjak dari kedudukan keenam pada tahun sebelumnya.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen tinggi warga kerja hospital berkenaan dalam memastikan penyampaian rawatan yang berkualiti, selamat dan efisien kepada pesakit. Ia juga menunjukkan keupayaan HPP mengekalkan standard perkhidmatan perubatan yang tinggi walaupun berdepan jumlah pesakit yang ramai.

Penarafan itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria penting termasuk maklum balas profesional perubatan, pengalaman pesakit serta pelbagai indikator kualiti hospital yang dinilai secara menyeluruh. 

Sebagai antara hospital kerajaan utama di negara ini, HPP memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan pakar kepada masyarakat di Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya.

Kedudukan ini sekali gus membuktikan bahawa hospital berkenaan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam, selari dengan usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.


photo 2026 03 11 13 41 33

Menurut Pengarah HPP, DR. GOH HIN KWANG, hospital ini pernah menjadi ‘hospital utama Malaysia’ sebelum tahun 1970-an dan kini, beliau ingin mengembalikan kegemilangan itu dengan satu visi jelas iaitu ‘Make HPP Great Again’.

“HPP ditubuhkan pada tahun 1811, bangunan asal di sebuah hotel dekat pusat bandar sebelum berpindah ke sini 1854.

“Walaupun beberapa fasiliti di HPP agak usang sedikit dan bilik konsultasi sempit, pihak pengurusan HPP tidak berhenti meningkatkan perkhidmatan.

“Dengan projek naik taraf yang sedang dijalankan saya percaya ia akan mengurangkan masalah-masalah ini sedikit,” ujarnya ketika ditemu bual oleh wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di pejabatnya pada 11 Mac 2026.

Difahamkan, projek naik taraf yang sedang dijalankan kini termasuk pembangunan tiga blok baharu iaitu blok ibu dan kanak-kanak menempatkan 400 pakar serta 500 ruang parkir tambahan adalah bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan kakitangan.

“Inilah cara kita menyeimbangkan sejarah dan modernisasi, fasiliti di sini mungkin agak usang, tetapi kepakaran kita kekal relevan,” jelasnya yang sudah 16 tahun terlibat dalam pentadbiran hospital.

Dari sebuah hospital kecil pada zaman kolonial, ia berkembang menjadi pusat rujukan utama bagi pelbagai kepakaran perubatan, dari jantung hingga perubatan genetik.

Hin Kwang berkata, HPP bukan sahaja unik dari segi lokasinya, tetapi juga kepakaran yang ditawarkan.

“Kita ada kepakaran perubatan genetik yang hanya terdapat di utara, malah, HPP terkenal dengan rawatan jantung sehingga pesakit dari Sabah dan Sarawak turut datang untuk pembedahan di sini.

“Hospital ini mempunyai lebih 250 pakar yang merangkumi pelbagai bidang perubatan dan subkepakaran, ia sesuatu yang sukar ditemui di hospital awam berskala kecil.

“Tidak terkecuali, ada hospital swasta juga merujuk pesakit ke HPP mungkin kerana kekurangan kepakaran atau melibatkan masalah kewangan pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, dengan lebih 490,000 pesakit setahun, bersamaan 2,400 pesakit sehari di klinik pakar, HPP menunjukkan kapasiti dan ketekunan yang luar biasa.

“Cabaran sumber manusia tetap ada, tetapi ia adalah isu global, bukan hanya masalah HPP, hospital swasta juga berdepan masalah sama dan saya percaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyusun strategi berdepan masalah ini,” katanya.

image 96
Hospital Pulau Pinang Kekal Cemerlang, Kini hospital awam ketiga terbaik negara 3

“Stigma terhadap hospital kerajaan harus diperbetulkan.

“Masa menunggu dan keselesaan mungkin berbeza, tetapi kepakaran dan mutu rawatan tetap setanding, bahkan unggul dalam beberapa bidang.

“Oleh itu, selepas kembali berkhidmat, saya mengambil inisiatif menambah kemudahan, seperti penempatan vending machine tambahan, bagi memastikan pengalaman menunggu lebih selesa,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa perkhidmatan di HPP.

“Semua pihak ini memainkan peranan penting dalam menjadikan hospital lebih efisien, mesra pesakit, dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” tegasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana mewujudkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma, CAT Hospital baru-baru ini yang dilihat memberi kemudahan kepada pelawat HPP.

Dari sejarahnya yang lebih dua abad, ke kepakaran yang tiada tandingan, Him Kwang memberitahu bahawa HPP kini berdiri dengan bangga sebagai simbol kecemerlangan perubatan di utara Semenanjung.

“Dengan rancangan naik taraf yang sedang dijalankan dan visi pemulihan kegemilangan masa lalu, HPP dilihat telah membuktikan bahawa hospital kerajaan juga mampu menjadi ikon kesihatan yang membanggakan.

“Newsweek menilai hospital berdasarkan keberkesanan rawatan kepada pesakit serta pandangan pesakit luar negara dan warganegara mengenai perkhidmatan sesebuah hospital itu sendiri.

“Dari segi pemarkahan, turut meningkat, untuk tahun 2025 HPP mencatat 70.44 peratus, manakala tahun 2026 meningkat kepada 72.33 peratus.

“Semua penilaian dilakukan tanpa pengetahuan pihak hospital, yang mana sebuah badan bebas antarabangsa (dikenali sebagai Statista) yang menjalankan kajian itu sendiri,” jelasnya.

Sebagai rekod, dalam ranking keseluruhan Newsweek termasuk hospital swasta, HPP berada di tempat ke-29 daripada 50 hospital terbaik Malaysia pada tahun 2026.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments