Wednesday, April 29, 2026
UtamaBeritaJPJ Pulau Pinang pantau 12 kawasan ‘hotspot’ kemalangan

JPJ Pulau Pinang pantau 12 kawasan ‘hotspot’ kemalangan

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Pulau Pinang memfokuskan pemantauan di 12 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan menerusi Op Khas sempena Tahun Baharu Cina yang berlangsung hingga 22 Februari ini.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail, berkata kawasan terbabit meliputi empat zon di lima daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.

Menurut beliau, seramai 168 anggota penguat kuasa yang cutinya dibekukan akan bertugas sepanjang operasi berkenaan bagi memastikan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu juga bertujuan menjamin kelancaran serta kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam, di samping meningkatkan tahap keselamatan, mutu dan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada orang ramai.

Pada masa sama, JPJ menyasarkan penurunan kadar kemalangan dan kematian melalui pelaksanaan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan yang kini dilaksanakan pada 14 hingga 15 Februari serta 21 hingga 22 Februari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Op Khas di Laluan Motosikal Jambatan Pulau Pinang pada malam semalam (15 Februari).

Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, sebanyak 584 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan, 184 kesalahan dikesan serta dikenakan saman.

Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dengan penyertaan keseluruhan 61 anggota.

Dalam perkembangan sama, Zulkifly memaklumkan bahawa penggunaan kamera badan kini diperluaskan dan digunakan sepenuhnya oleh JPJ Pulau Pinang bermula awal tahun ini. Katanya, peranti berkenaan membantu pegawai penguat kuasa khususnya dari segi pengumpulan bukti sekiranya berlaku sebarang gangguan atau halangan ketika menjalankan tugas.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments