GEORGE TOWN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Program Gunting Rambut Percuma anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang memberi impak langsung dalam meningkatkan keyakinan diri, maruah serta kesejahteraan sosial golongan gelandangan dan komuniti B40, sekali gus mencerminkan peranan media bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi pemangkin kebajikan masyarakat.
Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim turut, menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dalam mendekati golongan memerlukan secara langsung.
Menurut Lim, penganjuran program seumpama ini bukan hanya tertumpu kepada aspek dandanan diri, malah membawa makna lebih besar dari sudut psikologi dan sosial kepada golongan sasar.
“Sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan media amat penting dalam memastikan kebajikan golongan rentan terus diberi perhatian secara berterusan,” katanya, di sini semalam.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Mat Salleh Barber, yang menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada para peserta, pastinya memberi pengalaman bermakna kepada mereka yang jarang menikmati perkhidmatan sedemikian.
Salah seorang pengunjung, Rahman Abdullah, 52, yang merupakan penghuni sementara pusat transit berkenaan, melahirkan rasa syukur dan terharu atas penganjuran program tersebut.
“Program seperti ini sangat bermakna untuk kami. Bukan sahaja dapat potong rambut percuma, tetapi kami rasa dihargai dan diberi perhatian. Ia buat kami lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai,” katanya.
-RI
Sumber : Malaysia Aktif

