Pelaksanaan Hospital Mesra Ibadah (HMI) di Pulau Pinang akan terus diperkasakan bagi memastikan pesakit bukan sahaja menerima rawatan perubatan terbaik, malah turut mendapat sokongan rohani dan emosi sepanjang menjalani rawatan.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pendekatan HMI memberi ruang serta bimbingan kepada pesakit untuk melaksanakan ibadah mengikut kemampuan masing-masing.
Usaha itu selari dengan Maqasid Syariah serta Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI) 2030 yang menekankan aspek kebajikan, ihsan, dakwah dan tarbiah secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Hospital Mesra Ibadah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 di Hotel Ixora, Perai.
Dalam memperkukuh kerjasama institusi agama dan kesihatan, Zakat MAINPP telah menyalurkan RM647,526.49 menerusi Wakalah Agihan Zakat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Geran Zakat kepada Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya bagi membantu golongan asnaf yang mendapatkan rawatan.
Selain itu, Sukarelawan Rakan Masjid Hospital (RAMAH) turut memberikan khidmat dan sokongan kepada pesakit di enam hospital di Pulau Pinang sejak 4 Julai 2026.

