Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaGaleri Haji mempunyai nilai yang tinggi dalam memperkasa sektor pelancongan Muslim

Galeri Haji mempunyai nilai yang tinggi dalam memperkasa sektor pelancongan Muslim

GEORGE TOWN – Galeri Haji dilihat sebagai sebuah tarikan yang unik dan mempunyai nilai tinggi, khususnya bagi negeri Pulau Pinang, terutama dalam memperkukuh sektor pelancongan Muslim.

Menurut Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Sukki Othman, jika ditelusuri dari sudut sejarah, pengurusan ibadah haji pada suatu ketika dahulu dikendalikan oleh syeikh-syeikh haji secara tersusun dan sistematik.

“Pada pandangan saya, Galeri Haji ini merupakan satu khazanah yang amat berharga dan wajar dipromosikan dengan lebih meluas agar generasi masa kini dapat mengetahuinya.

“Malah, kerjasama dengan Islamic Tourism Centre juga boleh dipertimbangkan supaya ia dijadikan antara agenda pelancongan Islam, sekali gus mengetengahkan khazanah berkaitan ibadah haji yang kini semakin sukar ditemui,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Galeri Haji di 87, Lebuh Aceh, di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Mohamad Zamri Mohamed Shapik serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Dr. Mohamad Sofee Abdul Razak.

Sehubungan itu, Mohd. Sukki turut mengalu-alukan penyertaan pihak luar untuk menjalankan kajian yang lebih menyeluruh dan mendalam mengenai peranan kawasan tersebut, yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai “Little Jeddah”.

“Ini kerana masih banyak tinggalan sejarah menarik yang boleh ditemui, khususnya ketika kawasan ini menjadi tempat persinggahan jemaah haji sebelum berangkat ke Kota Mekah menaiki kapal laut,” tambah beliau.

Difahamkan, premis bernombor 87 itu dahulunya berfungsi sebagai kaunter penjualan tiket kapal laut bagi jemaah yang ingin ke tanah suci.

Kawasan berkenaan mendapat gelaran “Little Jeddah” kerana para jemaah akan berkumpul di situ selama dua hingga tiga minggu sebelum menunaikan ibadah haji, bagi mempelajari pelaksanaan rukun Islam kelima tersebut.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments