Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaLaluan Xiamen-Pulau Pinang Catat 220,000 Penumpang, Sumbang Impak Ekonomi RM100 Juta -...

Laluan Xiamen-Pulau Pinang Catat 220,000 Penumpang, Sumbang Impak Ekonomi RM100 Juta – Exco

GEORGE TOWN, 26 Mac — Sejak pelancarannya pada 28 September, 2023, laluan penerbangan terus antara Xiamen, China dan Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Xiamen Airlines telah merekodkan sejumlah 220,000 penumpang hingga 15 Mac tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata dalam tempoh yang sama, syarikat penerbangan itu mengendalikan 1,526 penerbangan pergi balik dengan purata faktor muatan sebanyak 85 peratus, mencerminkan permintaan perjalanan yang stabil dan teguh antara Xiamen, di wilayah Fujian dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, laluan ini turut menyumbang impak ekonomi melebihi RM100 juta kepada negeri, melibatkan pelbagai sektor termasuk perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman, perkhidmatan serta peruncitan.

Tambahnya lagi, kekerapan penerbangan yang pada awalnya hanya tiga kali seminggu kini telah ditingkatkan kepada setiap hari, memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelancong.

“Laluan ini bukan sahaja menarik pengunjung dari Xiamen, malah turut membuka peluang kepada pelancong dari bandar berhampiran seperti Zhangzhou dan Quanzhou serta kawasan lain di Wilayah Fujian,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus memperkukuh kerjasama dengan Xiamen Airlines dalam usaha merapatkan hubungan budaya dan memajukan sektor pelancongan antara kedua-dua lokasi.

Dalam masa sama, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Penang Global Tourism (PGT) telah memperkenalkan video promosi terbaharu semasa jerayawara berkenaan, bertajuk In Love With Penang dengan slogan “Heartfelt Moments Begin Now”.

Kempen tersebut bertujuan memperluaskan imej Pulau Pinang bukan sahaja sebagai destinasi warisan dan makanan, tetapi juga sebagai hab bagi segmen pelancongan baharu seperti pelancongan perubatan, pelayaran, perkahwinan dan pendidikan.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments