BUKIT TAMBUN – Kerjasama strategik antara kerajaan, institusi masyarakat dan pertubuhan belia menjadi kunci utama dalam memastikan generasi muda Pulau Pinang terus relevan sebagai pemacu agenda pembangunan negeri yang mampan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, menggesa semua pihak supaya memperkukuh kerjasama dalam usaha membentuk masa depan belia yang lebih cemerlang di negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa penglibatan bersama antara kerajaan, institusi masyarakat serta pertubuhan belia amat penting bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong perkembangan golongan muda secara menyeluruh.
Seruan tersebut disampaikan ketika merasmikan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Masjid Ar-Rayyan, Bandar Cassia pada 17 Mac 2026.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 500 pelajar dan belia dari pelbagai institusi. Pihak masjid turut menyatakan komitmen untuk menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang mesra belia, bukan sahaja untuk aktiviti keagamaan tetapi juga pembangunan sosial.
Selain itu, kehadiran beberapa pemimpin negeri dalam program tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa golongan belia serta memupuk perpaduan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Beliau mengalu-alukan penglibatan belia tempatan untuk mengimarahkan masjid yang tidak terhad kepada penganjuran aktiviti keagamaan, malah merangkumi program pemerkasaan komuniti yang lebih luas.
Majlis yang penuh keberkatan ini turut diserikan dengan kehadiran lebih 500 penuntut daripada pelbagai institusi pengajian tempatan.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik yang juga ADUN Bukit Tambun; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Muhamad Hafizi Ahmad Zaini; Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) negeri, Ashrab Jan; Pengurus Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Edry Faizal Yusof; serta Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Tan Chor Lim.

