Georgetown,10 Mac: Lebih 300 pelajar dari Pulau Pinang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat serta terkawal susulan ketegangan di Asia Barat, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
“Kedutaan Malaysia di sana sentiasa berhubung dengan wakil pelajar bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara sepanjang tempoh situasi yang dianggap sensitif di rantau berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447 H di Masjid Al Mustaqhfirin di Bayan Lepas dekat sini malam ini.
Beliau memaklumkan terdapat 100 pelajar Pulau Pinang di Jordan ketika ini yang menetap di beberapa bandar utama termasuk Amman, Irbid serta Mu’tah, dan mereka dinasihatkan supaya berada di kediaman masing-masing selain hanya keluar ke kampus bagi tujuan menghadiri kuliah.
Ketua Menteri memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta berhubung dengan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan para pelajar terjamin. Setakat ini, tiada sebarang laporan yang menunjukkan pelajar dari Pulau Pinang terlibat atau terjejas dengan situasi yang membimbangkan.
Kerajaan negeri juga mengekalkan komunikasi dengan agensi serta institusi pengajian di sana bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa. Sekiranya berlaku sebarang perkembangan yang memerlukan tindakan, langkah sewajarnya akan diambil bagi memastikan keselamatan pelajar terus terpelihara.

