BALIK PULAU,9 Mac– Seramai 51 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau merupakan antara 200 penerima sumbangan cermin mata yang disampaikan dalam satu majlis khas baru-baru ini.
Bantuan tersebut merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah penglihatan, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan agar mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih baik di sekolah. 

Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, program berkenaan melibatkan peruntukan kira-kira RM26,000 dengan nilai purata cermin mata sekitar RM150 bagi setiap pelajar, bergantung kepada keperluan penglihatan dan bingkai yang dipilih. 
Sebelum menerima cermin mata tersebut, para pelajar telah menjalani saringan kesihatan mata menerusi Program Back To School With Great Health yang melibatkan enam buah sekolah dengan kerjasama pihak kesihatan dan pendidikan daerah. 

“Bantuan ini melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM26,000 di mana purata nilai cermin mata bagi setiap pelajar adalah RM150 seorang bergantung kepada keadaan mata pelajar itu sendiri dan bingkai cermin mata yang diberikan juga adalah sangat berkualiti,” katanya.
Syamim Izad, 15, pelajar tingkatan tiga melahirkan rasa gembira dan teruja kerana menerima cermin mata baru bagi mengantikan cermin mata sediada yang telah digunakan hampir tujuh tahun.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya Dr. Mohd Siroj Abdul Lathiff serta para ibu bapa dan pelajar.

