GEORGE TOWN, 5 Mar – Masjid Daerah Seberang Perai Selatan di Jawi dipilih sebagai lokasi penganjuran program World #QuranHour peringkat Pulau Pinang 2026 yang akan berlangsung pada 11 Mac ini.
Ia bakal menghimpunkan masyarakat Islam bagi menghayati Surah Al-Muzzammil pada 21 Ramadan 1447 Hijrah.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, program yang dijadual berlangsung pada jam 9 pagi hingga 1 petang itu membawa tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’ dengan mengetengahkan Surah ke-73 sebagai panduan pembentukan peribadi dan masyarakat berteraskan al-Quran.
Menurutnya, antara atur cara yang disusun termasuk pertandingan bacaan Surah Al-Muzzammil bagi kategori sekolah menengah diikuti ceramah khas oleh penceramah jemputan, Ahmad Azizi Roslan bertajuk ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’ berpandukan Surah Al-Muzzammil.
“Majlis turut menampilkan kehadiran Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebagai penyempurna majlis.
“Selain itu, Imam Masjid Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Ahmad Mamduh Mohd Zulkifli akan memimpin bacaan doa manakala persembahan qasidah akan disampaikan oleh Maahad Tahfiz Sirajul Quran,” katanya.
Beliau menambah, majlis juga akan diserikan dengan sesi tadabbur Surah Al-Muzzammammil (20 ayat) yang dibaca secara bersama.
“Sesi tadabbur berkenaan akan dipimpin oleh Pakar Tahsin al-Quran dan Hafazan yang juga penceramah stesen Radio Mutiara FM, Hafiz Azmir Hassim al-Hafiz.
“Kita juga akan mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan bacaan Surah Al-Muzzammil serta penyampaian cenderahati sebelum ditutup dengan solat Zohor berjemaah dan bersurai pada jam 1 petang.
“Penganjuran program ini diharap menjadi medium penyatuan ummah dan medan penghayatan al-Quran dalam usaha membentuk insan berakhlak sebelum membina kekuatan masyarakat dan negara,” katanya lagi.
World #QuranHour peringkat negeri ini dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang bersama Rakan Strategik Rumah Ngaji Negeri Pulau Pinang serta beberapa rakan kerjasama termasuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Zakat MAINPP dan agensi berkaitan.
Sumber : Sinar Harian

