Friday, April 17, 2026
UtamaBeritaPBAPP aktifkan SMCP 2026 bagi memastikan bekalan air di Pulau Pinang mencukupi

PBAPP aktifkan SMCP 2026 bagi memastikan bekalan air di Pulau Pinang mencukupi

Georgetown, 23 Februari : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 (SMCP 2026) bagi memastikan kecukupan bekalan air di negeri itu.

Tindakan itu diambil susulan laporan status kapasiti air di dua empangan di Kedah, Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda telah menyusut ke paras kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, kapasiti air di Empangan Muda dilaporkan menurun kepada 20 peratus sejak kelmarin berbanding 84.6 peratus, 1 Januari lalu.

Menurutnya, kapasiti air di Empangan Beris pula mengikut rekod pada 16 Februari berada pada paras 78.1 peratus berbanding 100 peratus, 1 Januari lalu.

“Situasi ini berlaku disebabkan aktiviti pengeluaran air bagi tujuan pengairan secara agresif berikutan musim panas dan kering yang menyebabkan kapasiti Empangan Muda menyusut ke paras kritikal.

“PBAPP menjangkakan empangan ini tidak lagi dapat melepaskan jumlah air mentah yang signifikan ke dalam sistem Sungai Muda dalam masa terdekat, berkemungkinan seawal Mac ini.

“Sekiranya Empangan Muda terjejas, rizab Empangan Beris dijangka mampu menyokong keperluan bekalan air Kedah dan Pulau Pinang sehingga musim hujan yang diramalkan pada April, bagaimanapun ia masih belum pasti berikutan perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pathmanathan berkata, SMCP 2026 dirangka oleh PBAPP bagi meminimumkan impak potensi krisis Sungai Muda kepada Pulau Pinang.

“Elemen utama SMCP 2026 adalah PBAPP akan mengabstrak sebanyak mungkin air mentah dari Sungai Muda selagi paras sungai tidak susut di bawah 1.5 meter di muka sauk Lahar Tiang bagi menyokong pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua.

“Kemudian pelepasan air mentah secara strategik dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan di Seberang Perai Tengah apabila berlaku kekurangan bekalan air mentah dari Sungai Muda.

“Seterusnya pelaksanaan berterusan program ‘Double Dam Defence’ di bahagian pulau dengan mengepam secara berterusan kira-kira 407 JLH air terawat dari Sungai Dua ke bahagian pulau bagi memastikan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tidak kering,” katanya.

Menurutnya, jika semua berjalan mengikut perancangan, SMCP 2026 akan membolehkan Pulau Pinang mengharungi tahun 2026 tanpa krisis bekalan air.

“Namun, SMCP 2026 mungkin tidak dapat sepenuhnya melindungi Pulau Pinang daripada krisis air sekiranya PBAPP tidak dapat mengabstrak sebarang air dari Sungai Muda.

“Sehubungan itu, PBAPP ingin memohon sokongan dan kerjasama pengguna di Pulau Pinang untuk menggunakan air secara berhemat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments