BALIK PULAU, 19 Feb – Seramai 250 penduduk di sekitar Simpang Empat menerima sumbangan ayam segar sempena Ramadan menerusi satu program kebajikan yang diadakan di Balai Raya Simpang Empat, di sini, kelmarin.
Program tahunan yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik itu bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan awal menyambut bulan puasa.
Menurut beliau, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Balik Pulau akan terus mengekalkan tradisi mengagihkan juadah berbuka puasa secara percuma pada setiap Khamis dan Jumaat sepanjang Ramadan, bermula 20 Februari ini, sebagai komitmen berterusan membantu mereka yang memerlukan.
Salah seorang penerima, Siti Hajar Ahmad, 43, menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas bantuan yang diterima.
“Alhamdulillah, bantuan ini sangat bermakna buat kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya dapat kurangkan sedikit perbelanjaan dapur menjelang puasa,” ujarnya.
Program kongsi rezeki yang kini memasuki edisi keempat itu menyasarkan penduduk kampung serta taman perumahan sekitar Simpang Empat, sekali gus mengeratkan lagi hubungan dan semangat kebersamaan dalam komuniti setiap kali tibanya Ramadan.
Turut hadir, Penghulu Kanan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Mohd Farouk Varusai Mohd.

