Saturday, April 18, 2026
UtamaBerita11 projek naik taraf sekolah pondok, institusi agama di P.Pinang

11 projek naik taraf sekolah pondok, institusi agama di P.Pinang

BUKIT MERTAJAM, 24 Januari – Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti 11 projek khas bagi menaik taraf dan membaiki kemudahan sekolah pondok serta institusi pendidikan agama di Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen besar kerajaan melalui peruntukan RM200 juta yang disediakan tahun ini untuk sekolah agama rakyat, sekolah pondok, dan pusat tahfiz di seluruh negara.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun lalu dan RM200 juta pada tahun ini bagi membaiki kelengkapan di sekolah-sekolah agama, sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang.

“Kita telah mengenal pasti 11 projek di Pulau Pinang dan akan meneliti serta mengendalikan sebahagian pondok-pondok yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Masjid Jamek Kubang Ulu, Penanti di sini.

Jelasnya, peruntukan itu disasarkan untuk membaiki infrastruktur yang uzur serta melengkapkan kemudahan asas.

Bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, beliau menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan bersama-sama memantau pembangunan untuk memastikan setiap peruntukan memberi manfaat kepada pelajar dan guru pondok.

Dalam perkembangan lanjut, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak berniat untuk mencampuri urusan pengajian agama sedia ada.

Sebaliknya memperkasakan institusi tersebut dengan mewajibkan penambahan elemen penting seperti Bahasa Melayu dan Sejarah, serta mencadangkan penerapan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) ke dalam silibus pondok.

“Ada beberapa perjumpaan dengan guru-guru pondok, Kelantan, Kedah, Selangor, semua, saya percaya boleh kita lakukan juga dalam kalangan guru-guru yang lain untuk mereka faham.

“Dan saya tak mahu anggap kita ini, PKP dibawalah, Anwar nak kuasai pondok, Anwar nak campur sukatan, saya tak campur. Saya minta tambah. Dan minta mufti bagi pandangan, bagaimana kita boleh tambah tanpa menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut, beliau turut menandatangani plak sebagai simbol perasmian masjid berkenaan.

Sumber : Berita RTM

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments