GEORGE TOWN, 1 Januari – Makanan tradisional dari seluruh negara akan diketengahkan sebagai antara produk utama pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dengan pengusaha tempatan digesa mengolah menu warisan secara lebih kreatif tanpa mengubah identiti asalnya.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pendekatan inovatif dalam penyediaan dan persembahan makanan tradisional penting bagi menepati cita rasa pelancong masa kini, sekali gus meningkatkan daya saing produk kulinari tempatan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia memiliki kepelbagaian makanan tradisional yang boleh diberi nafas baharu melalui penggabungan elemen moden, selagi asas dan elemen tradisi masakan berkenaan dikekalkan.
“Namun, dalam usaha itu, elemen tradisional masakan mesti terus dipelihara,” katanya ketika ditemui pada acara Sambutan Pelancong Kapal Persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini, hari ini.

Program sambutan VM2026 hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif serentak Tourism Malaysia di 55 pintu masuk strategik seluruh negara, termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan hab pengangkutan utama, bagi menyemarakkan semangat hospitaliti rakyat Malaysia serta meningkatkan kesedaran awal terhadap kempen berkenaan.
Tambah Soon Hin, usaha memperkenalkan masakan tradisional kepada pelancong akan diperkukuhkan menerusi penggunaan platform digital dan media sosial, selain penganjuran festival makanan yang menghimpunkan pengusaha dari semua negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, Tourism Malaysia menyasarkan kehadiran kira-kira 980,000 pelancong kapal persiaran ke Pulau Pinang pada tahun ini, meningkat berbanding 700,000 orang pada tahun lalu.
“Sasaran itu disokong susulan dengan peningkatan ketibaan kapal persiaran antarabangsa sekitar 170 kapal tahun ini, berbanding 120 kapal pada tahun lalu.
“Peningkatan ini dijangka dapat dicapai apabila kita mencadangkan supaya Skim Geran Sepadan Penerbangan Charter (GSPC) diperluaskan kepada kapal persiaran bagi menggalakkan lebih banyak ketibaan ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

