Thursday, January 15, 2026
UtamaBeritaEkonomi Belia, Bukan Sekadar Hiburan – Pemimpin Pulau Pinang

Ekonomi Belia, Bukan Sekadar Hiburan – Pemimpin Pulau Pinang

SUNGAI NIBONG, 28 Disember – Industri e-sukan berpotensi besar menjadi pemangkin ekonomi baharu kepada golongan belia dan tidak lagi wajar dilihat sekadar sebagai aktiviti hiburan semata-mata, kata Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Tan Sri Khalid Ramli.


Menurut beliau, e-sukan kini berkembang sebagai satu ekosistem ekonomi yang mampu membuka peluang pekerjaan baharu khususnya dalam sektor digital dan industri kreatif.


“E-sukan bukan lagi sekadar permainan. Ia adalah industri yang mampu menjana peluang pekerjaan, membina keusahawanan digital serta mengurangkan kebergantungan belia kepada pekerjaan konvensional,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena Program Penang E-Sport MADANI Championship – MPBPP Series Cup 2025 yang berlangsung di Dewan Arena 3, Tapak Pesta Sungai Nibong di sini.


Tambah beliau, MPBPP komited menyokong pembangunan belia melalui penganjuran program e-sukan berimpak tinggi yang selari dengan agenda Ekonomi MADANI serta usaha memperkukuh pembangunan Bumiputera di Pulau Pinang.

image 78


Sementara itu, Pengarah Akademi Kepolisan Universiti Teknologi MARA (UiTM)–PDRM, PM Ts. Dr. Basharudin Abdul Hadi berkata, kemahiran yang diperoleh melalui penglibatan dalam e-sukan tidak seharusnya terhad kepada pertandingan semata-mata.


Sebaliknya, jelas beliau, kemahiran tersebut perlu diperluaskan ke bidang sokongan seperti reka bentuk digital, penghasilan kandungan kreatif, pemasaran media sosial serta latihan kemahiran digital.


“Belia perlu kreatif menggunakan kemahiran e-sukan untuk menjana pendapatan sama ada secara sambilan atau sepenuh masa. Ini termasuk menawarkan kursus kemahiran digital kepada komuniti belia,” katanya.

image 79


Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, En. Amirul berkata, penganjuran kejohanan e-sukan secara konsisten mampu menjadi platform pembangunan bakat belia yang lebih inklusif dan tersusun.


“Belia hari ini memerlukan ruang untuk mencuba, belajar dan membina jaringan. E-sukan menyediakan ekosistem yang sesuai untuk melatih disiplin, kepimpinan serta kemahiran digital selari dengan keperluan industri,” jelasnya.


Tambah beliau, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan badan belia amat penting bagi memastikan potensi belia Pulau Pinang dapat dimaksimumkan.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan E-Sport Pulau Pinang, En. Khir menyifatkan e-sukan sebagai pintu masuk utama belia ke dalam ekonomi digital sekiranya disokong dengan latihan dan bimbingan yang betul.


“Ramai pemain muda mempunyai bakat besar tetapi memerlukan panduan. Dengan latihan kemahiran, mereka boleh menjadi pengurus pasukan, penganalisis data, pencipta kandungan atau usahawan e-sukan,” katanya.

image 81


Program anjuran MPBPP dengan kerjasama UiTM Shah Alam, Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Persatuan E-Sport Pulau Pinang itu melibatkan penyertaan lebih 1,200 belia dari seluruh Pulau Pinang.


Kejohanan selama dua hari bermula 27 Disember itu mempertandingkan kategori bawah 20 tahun dan kategori terbuka, dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Tan Sri Khalid Ramli.


Kesemua pihak sependapat bahawa pembangunan e-sukan yang digabungkan dengan latihan TVET, kemahiran digital dan keusahawanan mampu menjadi landasan kukuh kepada pembinaan ekosistem ekonomi belia yang mampan.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments