Monday, March 9, 2026
UtamaBeritaPengorbanan dua pegawai PDRM demi segulung Ijazah dan harapan

Pengorbanan dua pegawai PDRM demi segulung Ijazah dan harapan

PULAU PINANG – Di sebalik senyuman yang terpamer di pentas konvokesyen, tersembunyi kisah pengorbanan yang tidak pernah diketahui umum.

Dua pegawai polis iaitu ACP Kamarul Rizal Jenal dan ASP Mohd Rizal Abd Rashid, semalam menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sekadar sebagai kejayaan akademik, tetapi sbukti betapa perjuangan menuntut ilmu boleh datang bersama air mata, penat dan kehilangan waktu berharga bersama keluarga.

Pengorbanan ACP Kamarul: Berulang-Alik Dari Bukit Aman Dengan Hati Yang Berat

Bagi ACP Kamarul Rizal, 47, anak kelahiran Sibu, Sarawak, perjalanan ke arah segulung ijazah bukan sekadar menyeberangi Laut China Selatan tetapi menyeberangi cabaran emosional dan fizikal yang tidak terbayang oleh orang lain.

Sejak ditukarkan ke Unit D9 Bukit Aman, kehidupannya berubah. Tugas-tugas siasatan berprofil tinggi memaksanya bekerja sehingga larut malam, namun setiap minggu beliau tetap memandu kembali ke USM untuk menghadiri kuliah.

Namun apa yang paling meruntun hati ialah ketika beliau mengakui banyak detik penting anak-anak terlepas daripada perhatian kerana jadual yang tidak menentu.

“Mereka tanya kenapa ayah tak boleh cuti… saya cuma mampu kata ayah kena kerja. Tapi dalam hati, saya tahu saya sedang cuba kerja untuk masa depan mereka juga,” ujarnya perlahan.

Dua Tahun Tanpa Percutian Keluarga

Bagi ASP Mohd Rizal Abd Rashid, 40, ketua bahagian siasatan jenayah IPD Barat Daya, pengajian sarjana mengorbankan sesuatu yang tidak ternilai, masa bersama keluarga.

Pernah satu semester beliau mengambil tiga subjek sekaligus, pengorbanan bukan sahaja tidur, malah kesihatan.

Hujung minggu, sementara keluarga lain bercuti, beliau hanya berada di depan komputer, menyiapkan tugasan.

“Saya tak bawa mereka bercuti sudah hampir dua tahun… saya rasa bersalah. Tapi saya selalu berdoa, bila saya naik pangkat nanti, mereka akan faham kenapa saya buat semua ini,” tambahnya.

Dua Kisah, Satu Hati: Menuntut Ilmu Demi Masa Depan Yang Lebih Baik

Apa yang menyatukan kedua-dua pegawai ini bukan sahaja uniform biru Sang Saka Biru, tetapi tekad yang sama,  menuntut ilmu demi keluarga dan masyarakat.

ACP Kamarul berpegang pada prinsip fardhu kifayah, bahawa ilmu adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan walau sesukar mana cabaran.

ASP Mohd Rizal pula melihat sarjana ini sebagai harapan untuk masa depan kerjaya dan sebuah contoh yang ingin ditinggalkan untuk anak-anaknya.

“Kami kuat bukan sebab kami polis… tapi sebab kami ada orang yang menunggu kami di rumah,” kata mereka berdua.

Akhirnya, Dua Lelaki Ini Berdiri Di Pentas Yang Sama

Pada 2 November 2025 , apabila penyampai ijazah menyebut nama mereka, kedua-duanya mengangkat wajah ke arah dewan yang dipenuhi keluarga.

Buat seketika, segala penat, kesunyian, malam tanpa tidur, dan kerinduan yang dipendam begitu lama…akhirnya terbayar.

Anak-anak yang sebelum ini hanya melihat ayah keluar sebelum matahari naik dan pulang selepas mereka tidur, hari itu melihat ayah berjalan megah di pentas, menggenggam sebuah kisah perjuangan yang tidak mampu ditulis dengan kata-kata. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments