Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaKampung Angkat MADANI JPA perkasa ekonomi nelayan, ekopelancongan Pulau Aman

Kampung Angkat MADANI JPA perkasa ekonomi nelayan, ekopelancongan Pulau Aman

PUTRAJAYA: Pulau Aman yang menjadi Kampung Angkat MADANI oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan.

Ia berikutan sejak sembilan bulan lalu, JPA sudah melaksanakan pelbagai pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kampung nelayan Melayu yang mempunyai 270 penduduk terdiri daripada 50 keluarga itu.

Inisiatif itu juga menyumbang kepada ekonomi penduduk dalam sektor pelancongan yang kini menjadi antara sumber pendapatan tambahan kepada penduduk yang majoriti nelayan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pemilihan Pulau Aman sebagai kampung angkat bukan kebetulan kerana pulau itu pernah menjadi kampung angkatnya ketika mengikuti Kursus Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)

Katanya, berdasarkan pengalaman itu, beliau melihat sendiri bagaimana pulau itu walaupun berhampiran dengan tanah besar Pulau Pinang, tetapi masih ketinggalan dari aspek kemudahan asas.

“Pulau ini tidak jauh daripada tanah besar, tetapi dari segi infrastruktur dan kemudahan penduduk, ia agak ketinggalan. Itu yang mendorong saya memilih Pulau Aman supaya bantuan dapat diberi secara signifikan,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, antara projek paling signifikan di Pulau Aman ialah pembinaan dan naik taraf Denai Alam (Nature Trail) untuk dijadikan produk ekopelancongan yang dilakukan melalui kerjasama erat antara penduduk dengan pegawai JPA.

“Trek sepanjang 2.8 kilometer ini membolehkan pelawat melakukan aktiviti beriadah sambil menikmati alam semula jadi. Limpahan pelancong pula memberi sumber pendapatan terus kepada persatuan penduduk melalui pelbagai aktiviti dan perkhidmatan sokongan.

“Apabila trek dibina dengan baik, sudah pasti ramai pelancong akan datang beriadah, sekali gus memberi pendapatan langsung kepada persatuan penduduk. Inilah elemen ekonomi yang kita mahu kukuhkan melalui ekopelancongan,” katanya.

Selain trek terbabit, Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA melaksanakan inisiatif modal insan seperti program kerohanian, pengupayaan kemahiran dan pengetahuan penduduk.

“Inisiatif ini dilaksanakan menerusi kursus pengurusan inap desa, kursus komunikasi bahasa Inggeris dan Mandarin, kursus pemandu pelancong dan hands-on aplikasi bagi pemasaran digital yang memberi impak kepada sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata, sejak awal pelaksanaan, JPA tidak membuat keputusan secara sehala, namun pihaknya mengadakan perbincangan berkala dengan persatuan penduduk bagi mengenal pasti keperluan penduduk.

Katanya, antara kemudahan dibangunkan hasil perbincangan adalah menaik taraf dewan orang ramai untuk program komuniti dan aktiviti lain.

“JPA turut membantu pembinaan rumah sampah yang teratur bagi menjaga kebersihan pulau. Usaha ini menjadikan kebersihan dan pengurusan ekosistem lebih sistematik, iaitu satu keperluan penting bagi destinasi pelancongan,” katanya.

Kemudahan lain dibina dan dinaik taraf ialah tandas, pembaikan gelanggang permainan, jeti, peningkatan pusat pengumpulan sampah, pembaikan longkang, pemasangan lampu jalan, pengubahsuaian dewan serba guna dan penyediaan tempat mandi jenazah.

Kerjasama pelbagai kementerian, agensi 

Beliau berkata, walaupun jumlah peruntukan RM2.5 juta tidak besar, JPA memastikan setiap projek memberi nilai maksimum kepada penduduk.

“Kita terikat dengan bajet, tetapi bukan semua perkara perlu dibayar menggunakan peruntukan JPA. Kita jalinkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi supaya projek dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata, jika kampung memerlukan kemudahan lampu solar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ada menyediakan peruntukan berkenaan, sekali gus dapat menjimatkan peruntukan sedia ada.

Katanya, begitu juga Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mempunyai peruntukan menaik taraf surau, masjid atau dewan orang ramai.

“Jadi kerjasama seperti ini dengan kementerian dan agensi dapat memberi manfaat dalam melaksanakan program Kampung Angkat MADANI.

“Pendekatan ini juga membuktikan konsep tidak bekerja secara silo sebaliknya bergerak sebagai pasukan kerajaan yang menyeluruh untuk manfaat rakyat,” katanya.

Justeru, beliau amat berharap penduduk sentiasa menjaga kemudahan yang dibina supaya ia kekal dan sentiasa menjadi sumber pendapatan penduduk.

“JPA tidak akan tinggalkan kampung ini dan akan adakan lawatan dari semasa ke semasa untuk melihat kemudahan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.

Pulau Aman satu-satunya kampung nelayan Melayu tradisional yang masih mengekalkan keaslian dan keunikan gaya hidupnya.

Pulau seluas 116.5 hektar itu, terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai dan lapan kilometer dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menariknya, pulau itu menawarkan pengalaman luar biasa sebagai kampung ‘bebas kereta’, penduduk dan pelawat hanya bergerak dengan berjalan kaki, berbasikal atau menaiki motosikal menerusi jalan konkrit menghubungkan seluruh pulau.

Beliau berkata, selain Pulau Aman, JPA juga kini dalam peringkat akhir pembinaan Kampung Angkat MADANI terbaharu, iaitu Kampung Seri Menanti di Kuala Pilah.

Katanya, ketika ini JPA menyediakan pelbagai program sosial dan keagamaan bersama penduduk setempat.

“Saya masih ingat ketika menghadiri program di Seri Menanti program berkaitan Adat Perpatih yang pada pandangan saya, generasi baharu tidak tahu adat berkenaan.

“Jadi usaha kita lakukan ini dapat memberi ruang dan peluang kepada generasi baharu apabila berjumpa penduduk kampung untuk mempelajari banyak perkara baharu,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini satu lagi program Kampung Angkat MADANI JPA yang masih pada peringkat awal pembinaan adalah di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments