Thursday, April 23, 2026
UtamaBeritaSkim i-Saraan jadi tumpuan di reruai KWSP KJH Pulau Pinang

Skim i-Saraan jadi tumpuan di reruai KWSP KJH Pulau Pinang

BATU KAWAN, 9 November 2025 : Biarpun tidak lagi bekerja sepenuh masa, seorang suri rumah di sini tetap beranggapan belum terlambat untuk mula membuat caruman sukarela melalui skim i-Saraan yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Fatin Shamimi Mohd Rosni, 32, berkata inisiatif berkenaan membuka peluang kepada golongan tidak bekerja atau bekerja sambilan untuk menabung demi masa depan melalui simpanan berterusan.

Ketika ditemui di reruai KSWP pada Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di sini, Fatin Shamimi berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai guru tadika dan berhenti kerja pada 2017.

Katanya, sejak itu Fatin Shamimi tidak lagi mencarum dan tidak terima maklumat mengenai i-Saraan.

“Hari ini saya datang ke KJH dan berpeluang mendapat maklumat mengenainya di sini, rupa-rupanya individu yang tidak lagi bekerja boleh menyimpan menerusi skim itu sendiri secara sukarela.

“Sejak berhenti kerja, saya mengusahakan jualan makanan secara kecil-kecilan dan akan peruntukan sejumlah wang bagi simpanan i-Saraan.

“Walaupun sudah beberapa tahun tidak mencarum di KWSP, namun saya rasa belum terlambat bagi menyimpan,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, semalam.

Menurut Fatin Shamimi, orang ramai diseru supaya ambil peluang tawaran skim itu demi masa depan.

“Kita tidak tahu kehidupan pada masa depan, jadi simpanan ini boleh digunakan bagi beberapa tujuan lagi termasuk keperluan asas, kesihatan atau pembiayaan pengajian anak,” katanya lagi.

Kempen ‘Simpan Baik-Baik’

Bagi jurujual minuman yang juga pekerja sambilan, Muhammad Nabil Muhamad Fazley, 21, berkata dia tidak mengetahui mengenai skim i-Saraan itu sehingga mendapat maklumat daripada kakitangan di reruai.

Katanya, dia adalah penuntut di institusi pengajian awam di sini dan bekerja sambilan bagi menampung kegunaan pengajian.

“Sebelum masuk ke universiti, saya pernah bekerja di sebuah syarikat dan terima caruman daripada majikan.

image 54
Antara aktiviti yang diadakan di reruai KWSP pada KJH Pulau Pinang.

“Selepas berhenti kerja, saya tidak sangka bahawa akaun saya masih boleh dikemaskini, walaupun sudah beberapa tahun tidak mencarum.

“Akaun saya hanya perlu dikemas kini oleh kakitangan KWSP di reruai dan selepas ini saya sudah boleh mula menyimpan walaupun hanya serendah RM10 sebulan,” katanya.

Mengenai kempen ‘Simpan Baik-Baik’ oleh KWSP, Muhammad Nabil berkata, ia beri bayangan bahawa golongan muda tidak boleh ambil mudah dengan simpanan masa depan.

“Lagi awal kita menyimpan, lagi banyak wang yang akan terkumpul nanti. Jangan ambil mudah tentang simpanan, walaupun sedikit, tetapi biarlah konsisten.

“Apabila tiba masa nanti, baharulah kita faham mengenai kepentingannya,” katanya lagi.

Sementara itu, di reruai KWSP KJH Pulau Pinang, orang ramai mengambil kesempatan bagi mengemaskini akaun dan mendapat maklumat mengenai skim yang ditawarkan.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments