Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaHospital Bukit Mertajam ‘paling lestari’ di Asia

Hospital Bukit Mertajam ‘paling lestari’ di Asia

HOSPITAL Bukit Mertajam (HBM), hospital ketiga tertua di Pulau Pinang, meraikan ulang tahunnya yang ke-135 pada 1 Oktober 2025.

Meskipun bangunannya berusia lebih seabad, hospital yang sarat dengan sejarah ini terus mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.

Pada 11 September lalu, HBM mencipta satu lagi sejarah apabila menerima Anugerah Emas Hospital Paling Lestari pada acara berprestij, Hospital Management Asia (HMA) 2025 di Ho Chi Minh City, Vietnam.

“Namun, berkat kerjasama semua pihak, kami berjaya meraih anugerah berprestij ini,” jelasnya sambil menambah bahawa hospital berkenaan kini mempunyai 242 katil serta 35 pakar dalam 11 bidang kepakaran.

Menurut Prashant, HMA diperkenalkan 23 tahun lalu sebagai platform penyertaan terbuka untuk hospital awam dan swasta di seluruh Asia.

“Pada awalnya hanya sembilan kategori dipertandingkan, namun tahun ini, kategori ke-10 diperkenal iaitu Hospital Paling Lestari.

“Bagi kategori ini, kami menghimpunkan data dan inisiatif yang dijalankan sepanjang tahun 2024 untuk dipersembahkan kepada pihak penganjur,” katanya.

image 17
TAMAN kompos yang terdapat di sini.

Kesihatan planet, manusia

Menurut beliau, program kelestarian di hospital awam berpaksikan kesedaran bahawa kesihatan planet memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia.

image 19
SUASANA hijau dan menyegarkan di Hospital Bukit Mertajam menawarkan pemandangan yang indah serta menenangkan.

“Sistem kesihatan bertanggungjawab bukan sahaja terhadap individu dan komuniti, tetapi juga terhadap kelestarian planet,” ujarnya.

Tambahnya, isu perubahan iklim kini menjadi tumpuan global melalui Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Conference of the Parties (COP).

“Persidangan tahunan ini membincangkan inisiatif bagimengurangkan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gas emissions) dan pencemaran udara.

“Malaysia turut menyahut usaha itu dengan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada tahun 2023 untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera dan membantu kesihatan bumi sekali gus membantu kesihatan komuniti serta individu,” jelasnya.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil langkah proaktif dengan menggubal pelan tindakan kelestarian menyeluruh pada 2016 untuk diguna pakai di semua hospital kerajaan.

“Hospital dan fasiliti kesihatan merupakan antara penyumbang utama pelepasan karbon dioksida kerana perlu beroperasi 24 jam sehari.

“Dampaknya, dianggarkan sebanyak lima peratus daripada pelepasan gas rumah hijau di dunia datangnya daripada sistem penjagaan kesihatan.

image 21
ANTARA struktur bangunan lama yang masih kekal.

“Oleh itu, KKM telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang memberikan perkhidmatan kemudahan pengurusan fasiliti kesihatan seperti Edgenta Mediserve Sdn. Bhd. untuk melaksanakan Program Kelestarian (Sustainability Programme) sejak 2016 di semua hospital kerajaan,” katanya.

Inisiatif lestari

Menyahut seruan KKM, Prashant berkata bahawa HBM telah melaksanakan beberapa inisiatif yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan sebagai hospital paling lestari di Asia, antaranya:

  • Pengurusan tenaga: menaik taraf sistem pendingin hawa kepadajenis inverter yang cekap tenaga serta menukar semua lampu kepada diode pemancar cahaya (LED).
  • Pengurusan sisa: membina tandas sisa sifar (zero waste), kitar semula sisa elektronik (e-waste), sisa elektrik dan fabrik serta melaksanakan kompos kebun.
  • Penggunaan air: membina sistem tadahan air hujan untuk tandas.
  • Pertanian bandar: menanam sayur-sayuran dan buah-buahan secara hidroponik, hasilnya diagihkan kepada golongan memerlukan.
  • Pengurangan karbon: menanam 1,100 pokok, melaksanakan sistem i-Sprint bagi mengurangkan perjalanan ambulans kosong, serta menggunakan dulang makanan biodegradable.
image 23
image 25
SISTEM tadahan air hujan untuk tandas HBM yang lebih cekap tenaga.

Menurut beliau, melalui inisiatif ini, HBM berjaya meningkatkan kadar kitar semula keseluruhan daripada 7 peratus kepada 11 peratus, manakala kadar kitar semula plastik meningkat daripada 1 peratus kepada 2 peratus.

Selain itu, katanya, HBM juga menumpukan kepada inisiatif pengurangan karbon (carbon sinking) dengan menanam sebanyak 1,100 pokok dan mengurangkan perjalanan ambulans yang kosong (empty ambulance rides) bagi menjimatkan penggunaan bahan api.

“Sebelum ini, ambulans yang menghantar pesakit ke Hospital Kepala Batas atau Hospital Seberang Jaya akan berpatah balik kosong.

“Jadi, dengan sistem i-Sprint ambulans kini membawa pesakit lain dalam perjalanan pulang, sekali gus menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Tambahan pula, HBM kini mempunyai kemudahan computed tomography scan (CT scan) sendiri, jadi keperluan merujuk ke hospital lain semakin berkurang,” katanya.

Beliau menambah, HBM turut menyahut cabaran KKM melalui pelaksanaan Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool (MyCREST) dan Energy Management Gold Standard (EMGS) yang mana hospital tersebut berjaya memperoleh kedua-dua pensijilan itu masing-masing pada tahun 2022 dan 2023. 

Sifar karbon 2050

Sepanjang tahun 2024 sahaja, kata Prashant, HBM berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 496,580.33 kWh, sekali gus menurunkan jejak karbon sebanyak 344.63 tan karbon dioksida iaitu bersamaan penjimatan kos operasi kira-kira RM252,759.39.

“Bagi perancangan jangka panjang, kami menyasarkan pengurangan jejak karbon sebanyak 10 peratus menjelang 2040 dan mencapai sifar karbon menjelang 2050,” katanya yang yakin bahawa semua pelan tersebut mampu dicapai dengan usaha dan sokongan berterusan daripada semua pihak.

Difahamkan, HBM kini sedang membangunkan lot parkir baharu di tapak kuarters lama serta merancang pembinaan Klinik Psikiatri baharu yang memerlukan dana kira-kira RM1.8 juta.

Sumber : Buletin Mutiara

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments