GEORGETOWN, 28 Oktober 2025 : Laluan P14 Jalan Tun Sardon (Bukit Baru), dekat sini, masih ditutup kepada semua kenderaan susulan runtuhan cerun pada minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata ia bagi membolehkan kerja pembersihan dan pemantauan cerun terus dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan tahap keselamatannya sebelum dibuka semula.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan JKR hari ini mendapati berlaku insiden beberapa bongkah batu jatuh disebabkan keadaan tanah yang longgar.
“Kejadian cerun runtuh di jalan itu berpunca daripada hujan berterusan selama dua hingga tiga hari yang menyebabkan beberapa cerun tidak stabil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jalan P14, iaitu Jalan Tun Sardon yang menghubungkan Paya Terubong ke Balik Pulau, ditutup sejak petang 23 Oktober lalu dan dijangka dibuka semula pada 31 Oktober, namun boleh dibuka lebih awal bergantung pada penilaian semasa.
Selain itu, Zairil berkata, Jalan Persekutuan FT006 yang mengelilingi pulau dari Teluk Bahang ke Balik Pulau berhampiran Titi Kerawang yang terjejas akibat cerun runtuh sebelum ini, dibuka separuh hanya untuk kenderaan ringan.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kerja kecemasan bagi membaiki cerun di kawasan terbabit yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Sumber : Berita Harian

