KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan Pakej 1 bagi Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) bermula hari ini.
PLUS dalam kenyataan berkata, NAZA Engineering & Construction Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor utama untuk pakej itu selepas melalui proses tender terbuka.
“Pakej satu yang meliputi kerja-kerja menaiktaraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (KM135.15-KM135.4) dan pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein On (KM133.5-KM134.5) yang akan dilaksanakan selama 24 bulan.
“Pakej 1 adalah sebahagian daripada pakej-pakej projek PTJSD yang bertujuan menyuraikan trafik di kawasan terbabit.
“Selain itu projek berkenaan bertujuan membantu pengguna-pengguna lebuh raya serta penduduk setempat untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
PTJSD adalah projek yang berimpak tinggi dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna harian melalui pengurangan kesesakan di laluan terbabit.
“Pada peringkat permulaan itu, kerja-kerja awalan tidak mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya terbabit masih kekal dibuka kepada pengguna.
“PLUS akan membuat pengumuman dari semasa-ke semasa berhubung perkembangan terkini projek itu menerusi saluran media sosial,” kata PLUS.
Sumber : Berita Harian

