Butterworth: Pengguna di Pulau Pinang yang mengesyaki menjadi mangsa penyelewengan pengusaha stesen minyak ketika menebus subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) diminta menyalurkan aduan secara rasmi daripada membuat hantaran di media sosial.
Ia bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan apatah lagi pelaksanaan program itu masih baru sejak ia bermula 30 September lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, S Jegan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung penyelewengan itu kecuali masalah teknikal pada permulaan program namun ia diselesaikan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
“Aduan (penyelewengan pengusaha stesen minyak pada meter pam seperti tular di media sosial) tidak berlaku di Pulau Pinang. Sehingga kini kita tidak menerima apa-apa pun berkaitan permasalahan itu.
“Sejak program ini dilaksanakan hanya satu aduan sahaja, itu pun berkaitan masalah teknikal disebabkan kesilapan individu yang mana ia sudah diselesaikan.
“Kita akan bertindak segera tetapi kita mohon jika ada apa-apa aduan tolong guna saluran rasmi dan tidak menularkan di media sosial,” katanya ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penyelewengan pengusaha stesen minyak terhadap meter pam sama ada ia berlaku di Pulau Pinang.
Jegan ditemui pemberita ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di sebuah pasar raya di Seberang Jaya, di sini, semalam.
Seramai 173 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau harga ditempatkan di seluruh Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP bagi melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika yang cuba mengambil kesempatan sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, Jegan berkata, isu berkaitan penyelewengan tidak timbul kerana mekanisme penetapan harga dan jumlah liter minyak tidak mudah diubah atau dimanipulasi oleh stesen minyak, malah sistem kalibrasi pam sentiasa disahkan oleh pihak berkuasa.
“Oleh itu, kita mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan serta mengemukakan laporan kepada KPDN bersama bukti transaksi atau resit sekiranya mendapati sebarang penyelewengan berlaku.
“KPDN sentiasa menjalankan pemantauan di semua stesen minyak bagi memastikan pematuhan terhadap penjualan petrol bersubsidi BUDI95 berjalan lancar,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung dakwaan beberapa pengguna memaklumkan berlaku penyelewengan apabila isian petrol dibuat terdapat kekurangan berbanding isian sebelum program BUDI95 dilaksanakan.
Ini kerana mereka hairan nilai yang sama dibayar sepatutnya isian petrol berlebihan memandangkan harga subsidi tetapi sebaliknya berlaku.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali sebelum ini dilaporkan berkata, bahawa kementerian itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat unsur meragukan kerana penyasaran subsidi ini sama ada diesel ataupun petrol bukan untuk mengurangkan subsidi rakyat, tetapi untuk mengekang ketirisan.
Sumber : Harian Metro

