GEORGE TOWN, 15 Okt — Keupayaan Pulau Pinang menghadapi situasi kecemasan kini dipertingkat dengan menaik taraf Bilik Gerakan Negeri kepada Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) yang berperanan sebagai pusat kawalan utama dalam pengurusan bencana di peringkat negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata penubuhan SDCC akan memperkukuh koordinasi teknikal dan logistik antara semua agensi kerajaan, sekali gus memastikan tindakan lebih pantas, bersepadu dan efisien ketika berlakunya bencana.
“Sekiranya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca dalam tempoh dua atau tiga hari lebih awal, SDCC akan mengaktifkan tahap kesiapsiagaan tertinggi dan menyelaras tindakan di lapangan,” katanya ketika merasmikan pusat berkenaan, di sini semalam.
Menurut Chow, penaiktarafan itu bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi ancaman cuaca ekstrem dan bencana alam, malah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang berkeupayaan mengintegrasi penggunaan teknologi serta sistem komunikasi bersepadu dalam pengurusan krisis.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Zulkifli Long, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Khim serta Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Hussain Moh.
-RI
Sumber : Malaysia Aktif

