Friday, December 5, 2025
UtamaBeritaUPS buka pusat bungkusan baharu, tingkat keupayaan penghantaran di Pulau Pinang

UPS buka pusat bungkusan baharu, tingkat keupayaan penghantaran di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Syarikat logistik global, UPS, melabur untuk membuka pusat bungkusan baharu di Penang Science Park North, sekali gus memperkukuh perkhidmatan penghantaran dan meningkatkan keupayaan pemprosesan barangan bagi pelanggan di seluruh Pulau Pinang.

UPS dalam satu kenyataan berkata, langkah itu turut disertai dengan pengembangan hab sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang kini mampu menampung kapasiti lebih besar untuk mempercepatkan urusan penghantaran dan penerimaan barangan ke seluruh dunia.

“Pusat berkeluasan 20,000 kaki persegi ini dibangunkan di kawasan strategik yang menempatkan pelbagai taman perindustrian utama, khususnya sektor teknologi tinggi dan pembuatan, yang menjadi antara penyumbang utama eksport negara.

“Dengan kemudahan baharu ini, masa kutipan barangan eksport bagi perkhidmatan UPS Express dan Worldwide Express Freight di lapan kawasan termasuk Butterworth, Batu Kawan dan Bayan Lepas dilanjutkan sehingga dua jam, memberi pelanggan lebih fleksibiliti untuk menyediakan penghantaran keluar.

“Selain itu, penghantaran kepada pelanggan perniagaan di Batu Kawan, Perai, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah turut dapat dibuat lebih awal berbanding sebelumnya, sekali gus mempertingkatkan kecekapan rantaian bekalan pelanggan industri di utara tanah air,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata pelaburan UPS itu hadir pada masa yang penting ketika syarikat di seluruh dunia sedang menyesuaikan diri dengan perubahan corak perdagangan global dan penjajaran semula rantaian bekalan.

“Pelaburan ini memperkenalkan automasi lanjutan dan proses pergudangan pintar yang akan meningkatkan daya tahan serta kecekapan bagi syarikat Malaysia yang bersaing dalam sektor kritikal masa seperti semikonduktor dan elektronik.

“Usaha ini selari dengan komitmen MIDA untuk mempercepatkan penerapan automasi dan gudang pintar dalam sektor logistik, yang dilihat sebagai tonggak penting dalam membina ekosistem rantaian bekalan negara yang lebih tangkas dan berdaya saing.

“Keyakinan berterusan UPS terhadap Malaysia memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pilihan pelaburan global berimpak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan UPS Malaysia, Ingrid Sidiadinoto, berkata keutamaan syarikat kini tertumpu kepada memberi nilai masa tambahan kepada pelanggan menerusi pemanjangan tempoh kutipan dan penghantaran barangan.

“Apabila kami berbincang dengan pelanggan, ramai yang mahukan ‘lebih banyak jam dalam sehari’. Pelanjutan waktu kutipan ini memberi mereka ruang itu, masa tambahan untuk menerima dan menghantar lebih banyak pesanan setiap hari,” katanya.

Beliau menjelaskan, hab lapangan terbang UPS yang dipertingkatkan kini dapat memproses penghantaran dengan lebih cekap, termasuk 11 penerbangan mingguan UPS yang beroperasi dari Pulau Pinang ke destinasi global utama.

“Syarikat di seluruh dunia kini menilai semula strategi rantaian bekalan pasca-pandemik. Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan perubahan corak perdagangan ini, dan Pulau Pinang adalah pusat kepada peluang itu,” tambahnya.

Pelaburan di Pulau Pinang itu adalah sebahagian daripada rangkaian pelaburan berterusan UPS di Malaysia.

Mei lalu, syarikat itu memperkenalkan perkhidmatan baharu di Johor yang menawarkan penghantaran sehari keesokan hari ke dan dari negara di seluruh rantau Asia Pasifik, manakala penghantaran ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) pula boleh tiba dalam tempoh hanya dua hari bekerja.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments