BUKIT MERTAJAM, 29 September 2025 – Pulau Pinang hari ini mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan tayangan video keselamatan air di semua hotel sebagai langkah pencegahan awal untuk mengurangkan insiden lemas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, inisiatif ini diambil selepas data operasi menunjukkan insiden lemas masih menjadi antara panggilan kecemasan utama di kawasan pantai, kolam renang hotel dan lokasi rekreasi air dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, video keselamatan air ini akan dipaparkan kepada setiap tetamu ketika mendaftar masuk dan juga di bilik penginapan mereka sebagai satu cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan air.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 16 kes lemas dilaporkan, manakala bagi tahun 2025, sebanyak tujuh kes telah dicatatkan sehingga kini.
“Justeru langkah pencegahan adalah lebih baik daripada tindakan selepas kejadian berlaku dan berharap dengan adanya video ini, ia dapat memberikan pengetahuan kepada pelancong mengenai langkah-langkah keselamatan ketika berada di kawasan berisiko,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Majlis pelancaran video keselamatan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shoki berkata, Pulau Pinang kini menjadi perintis bagi pendekatan ini, yang juga akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di hotel-hotel seluruh negeri.
“Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Pulau Pinang dalam memastikan keselamatan pelancong, tetapi juga berpotensi untuk diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
“Inisiatif tersebut turut mendapat perhatian antarabangsa apabila JBPM Pulau Pinang menerima kunjungan delegasi Duta Singapura, yang menyatakan minat untuk bekerjasama dalam menangani insiden lemas yang melibatkan rakyat Singapura di Malaysia,” katanya.
Bagi pelan jangka pendek, beliau berkata, JBPM akan terus bekerjasama dengan pengusaha hotel untuk memastikan tayangan video ini dapat dilaksanakan secara konsisten dan juga memastikan kakitangan hotel dilatih untuk memberi penerangan ringkas kepada tetamu mengenai keselamatan air.
“Selain itu, rondaan di kawasan rekreasi air juga akan dipertingkatkan, terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan.
“Manakala pelan jangka panjang, JBPM bercadang untuk membangunkan aplikasi mudah alih keselamatan air, menyeragamkan modul keselamatan di semua hotel, serta mewujudkan pusat latihan keselamatan air,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

