KUALA LUMPUR: Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan 36.8 peratus pada Ogos 2025, diikuti oleh Johor yang menyumbang 20.8 peratus, Selangor (17.3 peratus), Sarawak (6.2 peratus) dan Kuala Lumpur (4.3 peratus)
Malaysia merekodkan jumlah perdagangan bernilai RM247.1 bilion bulan lalu, dengan eksport mencecah RM131.6 bilion dan import sebanyak RM115.5 bilion, menurut laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Ogos 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 26 September 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata nilai eksport meningkat 1.9 peratus dari sebelumnya atau tambahan RM2.5 bilion berbanding Ogos 2024.
“Peningkatan eksport paling tinggi dipacu oleh Pulau Pinang yang melonjak RM5.9 bilion, diikuti Johor (RM1 bilion) dan Sabah (RM355.3 juta).
“Manakala, beberapa negeri lain turun mencatatkan pertumbuhan positif seperti Labuan (RM80.7 juta), Melaka (RM48.4 juta), Kelantan (RM37.7 juta) serta Perlis (RM5.9 juta),” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir menambah, beberapa negeri walau bagaimanapun mengalami penurunan eksport termasuk Kedah (-RM1.4 bilion), Sarawak (-RM1.1 bilion), Pahang (-RM553.8 juta), Terengganu (-RM411.9 juta), Perak (-RM405.5 juta), Negeri Sembilan (-RM339.5 juta), Selangor (-RM263 juta) dan Kuala Lumpur (-RM197.4 juta).
Sementara itu, beliau berkata import Malaysia merekodkan penurunan RM7.3 bilion atau 5.9 peratus kepada RM115.5 bilion, didorong penguncupan di kebanyakan negeri termasuk Kedah (-RM4.9 bilion), Melaka (-RM1.3 bilion) dan Johor (-RM949.8 juta).
“Selain itu, Sabah dengan penurunan import RM862.5 juta, diikuti Kuala Lumpur (-RM859.2 juta), Negeri Sembilan (-RM418 juta), Sarawak (-RM380.8 juta), Terengganu (-RM348 juta), Perlis (-RM78.8 juta), Labuan (-RM50.6 juta) dan Kelantan (-RM6.1 juta),” jelasnya.
Namun, import meningkat di Pulau Pinang (RM3.2 bilion), Perak (RM125.5 juta) dan Selangor (RM100,000).
Selangor muncul sebagai penyumbang import terbesar dengan 27.2 peratus, diikuti Pulau Pinang (25.1 peratus), Johor (22.1 peratus), Kuala Lumpur (7.6 peratus) dan akhir sekali Kedah (4.7 peratus).
Sumber : Berita Harian

