TASEK GELUGOR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menjalankan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung penyelarasan subsidi petrol Program Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi golongan petani dan pesawah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu berkenaan telah dibentangkan kepada MOF bagi mencari mekanisme penyelesaian yang sesuai dan berkesan.
“Kita ada terima aduan (golongan petani, pesawah) berhubung pemberian subsidi petrol BUDI95 dan Ketua Setiausaha Kementerian sedang menyelaraskan perkara itu (dengan MOF).
“Telah ada keputusan yang akan dilaksanakan segera dan kita memberi dalam berbagai bentuk kepada mereka (golongan berkaitan),” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, Mohamad merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian KPKM Inc. Pulau Pinang di sini.
Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Usahawan negeri, Fahmi Zainol.
Media pada 23 September lalu melaporkan Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita) menyarankan kerajaan mewujudkan kad petrol khas pesawah bagi memastikan golongan tersebut mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian.
Koordinatornya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Muni berkata, cadangan itu dibuat selepas melihat inisiatif BUDI95 tidak mengambil kira realiti penggunaan petrol untuk kelangsungan kerja pesawah di bendang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan seperti sistem subsidi nelayan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Kad ini mestilah membolehkan pesawah membeli petrol bersubsidi bagi peralatan kecil mereka manakala bagi penggunaan diesel pula, perlu diwujudkan mekanisme khusus untuk penyedia perkhidmatan pertanian termasuk pengusaha mesin padi, traktor, jentolak, jengkaut, lori padi dan lain-lain,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

