PAYA TERUBONG, 23 Sep – Lebih 30 peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Kelab Rukun Tetangga (KRT) sekitar Paya Terubong didedahkan mengenai kepentingan perancangan kewangan pendidikan anak-anak melalui taklimat oleh Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Sesi taklimat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Paya Terubong anjuran KRT Jalan Semarak Api dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), di sini kelmarin itu turut melibatkan KRT Semarak Api, Medan Angsana, Desa Mawar dan Lorong Bukit Kukus.
Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Aslina Abdullah, berkata program ini mampu memberi impak positif kepada masyarakat kerana ia membuka mata ibu bapa tentang pentingnya membuat perancangan awal.
“Menabung untuk pendidikan bukan sahaja memberi jaminan masa depan anak-anak, malah meringankan beban ibu bapa kelak. Saya menggalakkan semua ahli jawatankuasa KRT supaya mengambil peluang ini untuk mendaftar demi manfaat keluarga di masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Cawangan PTPTN Pulau Pinang Mohamad Hafizi Jamaluddin menyampaikan taklimat mengenai kelebihan Simpan SSPN antaranya simpanan serendah RM30 sebulan, pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun dan simpanan dijamin kerajaan.
Peserta juga berpeluang bertanya soalan secara langsung berhubung prosedur pembukaan akaun dan kaedah potongan gaji bulanan.
Bagi memudahkan urusan, kaunter pendaftaran Simpan SSPN turut dibuka di lokasi membolehkan peserta membuka akaun secara terus selepas sesi taklimat.
-RI
Sumber : Malaysia Aktif

