Wednesday, January 14, 2026
UtamaBeritaMetro Sarong 2025 meriah, promosi warisan budaya Malaysia di Perancis

Metro Sarong 2025 meriah, promosi warisan budaya Malaysia di Perancis

LYON, 20 September – Kedutaan Besar Malaysia di Perancis dengan kerjasama Tourism Malaysia Paris serta Malaysian Association in Lyon (MALYON) telah menganjurkan program Metro Sarong 2025 di bandar ini, dengan penyertaan lebih 70 individu termasuk diaspora serta sahabat-sahabat Malaysia dari sekitar wilayah Auvergne-Rhône-Alpes.

Kedutaan Besar Malaysia di Perancis menerusi satu kenyataan memaklumkan, para peserta berkumpul di Place des Terreaux, berhadapan Hôtel de Ville Lyon, sambil mengenakan sarung pelbagai warna dan corak termasuk batik dan pelikat. Mereka kemudiannya menaiki metro menuju ke Place Maréchal Lyautey, lokasi berlangsungnya Fête des Bannières du Monde (Festival Bendera Dunia) anjuran bandar Lyon.

“Festival tersebut meraikan kepelbagaian budaya dari seluruh dunia melalui persembahan muzik, tarian, makanan, pakaian tradisional, permainan serta perarakan besar-besaran yang disertai lebih 40 negara.

“Program Metro Sarong, yang diinspirasikan daripada “Keretapi Sarong” di Malaysia, merupakan sebahagian daripada usaha diplomasi budaya Kedutaan Besar Malaysia untuk memperkenalkan keunikan warisan dan tradisi negara di Perancis,” menurut kenyataan tersebut.

Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, melahirkan rasa bangga dengan penganjuran edisi kedua Metro Sarong di Lyon selepas kejayaan penganjuran sulung di Paris pada September 2024.

“Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan warga Malaysia di Perancis, malah menjadi wadah untuk kita berkongsi budaya Malaysia dengan masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa, sekali gus memperkukuh promosi negara di peringkat global,” katanya.

Menariknya, acara tersebut berlangsung serentak dengan sambutan European Heritage Day pada 20 hingga 21 September, menjadikan Metro Sarong sebagai inisiatif yang tepat untuk mengetengahkan warisan dan budaya Malaysia di pentas Eropah.

Sumber : Berita RTM

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments