GEORGE TOWN – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berhasrat memperluaskan Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) ke seluruh negara selepas menerima sambutan positif dalam kalangan prospek di dua penjara di negeri ini.
Timbalan Yang Dipertua YADIM, Prof Dr Adi Anuar Azmin @ Che Wan berkata, projek berkenaan mula dilaksanakan secara perintis di Kompleks Penjara Seberang Perai sejak Julai lalu sebelum diperluaskan ke Penjara Pulau Pinang.
Menurutnya, selain dua penjara di Pulau Pinang, program sama juga sudah dimulakan secara tidak rasmi di Penjara Johor Bahru, Pokok Sena dan Sungai Petani.
“Setakat ini, kita dapat maklum balas baik daripada prospek dan sasaran kita adalah menjadikannya program berskala lebih besar.
“Seperti di Seberang Perai, prospek membaca buku dan menulis sinopsis sebelum dipilih untuk menerima sumbangan buku Nilam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perasmian Program Nilam Peringkat Prospek Penjara Pulau Pinang di sini, semalam.
Majlis itu disertai 300 prospek reman dan sabitan serta diisi dengan ceramah Maulidur Rasul dan gimik perasmian tersebut.
Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah buku yang disediakan adalah satu hingga dua kali ganda daripada bilangan prospek dengan Penjara Pulau Pinang mempunyai kira-kira 1,500 orang.
Sementara itu, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Zool Fadli Ismail berkata, pihaknya turut menggalakkan pegawai serta anggota penjara menyumbang sekurang-kurangnya sebuah buku selain membuka peluang kepada orang awam, keluarga prospek dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Buku berkenaan ditempatkan di lokasi mudah dicapai agar masa mereka di sini dapat dimanfaatkan untuk pembentukan pemikiran baharu,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

