Saturday, April 25, 2026
UtamaBeritaMARDI perkenal varieti baharu padi MR 333 untuk hasil lebih tinggi, tahan...

MARDI perkenal varieti baharu padi MR 333 untuk hasil lebih tinggi, tahan penyakit

KEPALA BATAS, 25 Ogos: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti padi baharu MR 333 yang diberi nama MENORA bagi menangani cabaran perubahan iklim dan menawarkan potensi hasil yang tinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, varieti MR 333 merupakan hasil penyelidikan intensif MARDI melalui peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi aktiviti penyelidikan serta pembangunan padi dan beras.

Katanya, varieti itu terbukti berdaya saing dan mempunyai ketahanan terhadap penyakit yang diyakini akan membantu meningkatkan pendapatan pesawah jika disertai dengan amalan penanaman yang baik.

“Ia sesuai sebagai alternatif kepada varieti popular seperti MR 297, MR 315, MR 303 dan MR 307 kerana tempoh matang singkat antara 103 hingga 108 hari, ketahanan rebah dengan ketinggian sekitar 99.8 sentimeter dan berat bagi 1,000 biji yang tinggi iaitu 30.9 gram.

“Dengan kelebihan itu, MR 333 berpotensi untuk ditanam di kebanyakan kawasan jelapang padi di negara ini dan dijangka akan mendapati sambutan dalam kalangan pesawah,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI MR 333 di Kampung Lahar Minyak di sini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

Sementara itu, Mohamad berkata, varieti itu dijangka menawarkan potensi hasil yang tinggi sehingga sembilan tan per hektar.

“Kelebihan MR 333 yang rintang terhadap penyakit karah tangkai dan sederhana rintang terhadap karah daun adalah ciri penting yang dapat bantu kurangkan penggunaan racun kulat.

“Dengan ketahanan itu, pesawah dapat kurangkan kos dan potensi kerosakan alam sekitar akibat penggunaan racun kimia berlebihan,” katanya. – TVS

Sumber : TVS

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments